KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di Seremban pada Selasa.
Kenderaan yang membawa Ismail tiba di pekarangan Istana Hinggap kira-kira pukul 10.50 pagi tadi, lapor Utusan di Negeri Sembilan.
Kira-kira 10 minit kemudian, kenderaan yang membawa Tuanku Muhriz turut tiba di Istana Hinggap.
Turut hadir di Istana Hinggap ialah Undang Luak Sungei Ujong, Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid serta Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Pertemuan tersebut berlangsung selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Ismail menghadap Tuanku Muhriz bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku di negeri itu.
Sesi menghadap itu dipercayai berkaitan perkembangan terbaharu kemelut politik dan pentadbiran negeri yang turut membabitkan kedudukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Sebelum ini, Tuanku Muhriz dilaporkan membatalkan pelantikan barisan Exco Negeri Sembilan, manakala Ismail kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.



