Dalam keadaan cuaca yang sukar dijangka, pagi mungkin bermula dengan langit yang kelihatan kelabu akibat jerebu sebelum hujan lebat mencurah pada sebelah petang.
Perubahan seperti ini bukan sahaja mengganggu rutin harian, malah boleh membuatkan tekak terasa tidak selesa dan batuk mula datang tanpa diduga. Bagi sesetengah individu, batuk mungkin hilang selepas beberapa ketika, namun ada juga yang berlarutan hingga mengganggu tidur, pekerjaan dan aktiviti seharian.
Apa yang sering terlepas pandang ialah tidak semua batuk mempunyai ciri yang sama.
Ada batuk yang disertai kahak atau lendir, manakala ada pula batuk kering yang membuatkan tekak terasa gatal dan pedih. Perbezaan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi mengenali jenis batuk boleh membantu seseorang membuat pilihan yang lebih sesuai apabila mencari kelegaan.
Dalam musim jerebu, perkara ini menjadi lebih penting kerana zarah halus dalam udara boleh merengsakan hidung, tekak dan saluran pernafasan. Apabila keadaan udara berubah-ubah, ditambah pula dengan cuaca panas dan hujan yang datang silih berganti, sesetengah orang mungkin lebih mudah mengalami ketidakselesaan pada saluran pernafasan.

Menurut Pengurus Negara Kalbe Malaysia Sdn Bhd, Encik Oktavianus, orang ramai kini semakin mengambil berat tentang keadaan kesihatan mereka dan mahu memahami apa yang berlaku sebelum memilih sesuatu produk.
“Rakyat Malaysia hari ini bukan sekadar mahu mencari kelegaan apabila batuk datang. Mereka juga mahu tahu apa yang menyebabkan batuk itu berlaku dan apakah pilihan yang sesuai untuk mereka,” katanya.
Perubahan cara pengguna mendapatkan maklumat turut memainkan peranan. Jika dahulu ramai bergantung kepada pengalaman keluarga atau cadangan rakan, kini pengguna lebih mudah mendapatkan maklumat dengan membaca label produk, membuat perbandingan dan mendapatkan pandangan profesional kesihatan.
Dalam keadaan ini, pengetahuan asas mengenai batuk boleh membantu seseorang memahami pilihan yang ada.
Batuk berkahak, misalnya, biasanya melibatkan pengeluaran kahak atau lendir daripada saluran pernafasan. Bagi keadaan seperti ini, bahan seperti guaifenesin yang tergolong sebagai ekspektoran digunakan untuk membantu melonggarkan kahak supaya ia lebih mudah dikeluarkan.
Antara produk yang ditawarkan WOODS’ ialah Sirap Batuk Pudina WOODS’, yang mengandungi guaifenesin serta pudina untuk memberikan rasa melegakan pada tekak.
Bagi WOODS’, usaha membantu pengguna memahami perbezaan jenis batuk bukan sesuatu yang asing. Sebagai jenama yang telah lama berada dalam kehidupan rakyat Malaysia, jenama itu turut melalui perubahan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Ramai yang membesar dengan rasa pudina WOODS’ dan hari ini, produk sama turut dikenali oleh generasi ibu bapa yang baharu.

Hubungan tersebut turut menerima pengiktirafan apabila WOODS’ menerima Anugerah Emas bagi kategori Kesihatan di Putra Aria Brand Awards [2025], anjuran Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), yang mengiktiraf jenama berdasarkan pertumbuhan pilihan pengguna.
“Bagi kami, kepercayaan pengguna adalah sesuatu yang sangat bermakna. Ia bukan sekadar tentang berapa lama sesebuah jenama berada di pasaran, tetapi bagaimana jenama itu kekal dekat dengan keperluan keluarga dari satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Oktavianus.
Dalam pada itu, musim jerebu juga mengingatkan orang ramai bahawa penjagaan kesihatan pernafasan tidak semestinya bermula apabila batuk sudah muncul.
Menyemak bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sebelum melakukan aktiviti luar, mengurangkan tempoh berada di kawasan yang mempunyai kualiti udara tidak sihat, minum air secukupnya dan menggunakan pelitup muka yang sesuai apabila diperlukan antara langkah mudah yang boleh diamalkan.
Di rumah pula, tingkap boleh ditutup ketika keadaan jerebu teruk bagi mengurangkan kemasukan udara luar, manakala penulen udara boleh digunakan sekiranya ada.
Namun, jika batuk tidak menunjukkan tanda untuk reda, semakin teruk atau hadir bersama gejala seperti demam, sakit dada dan kesukaran bernafas, pemeriksaan doktor wajar dilakukan.
“Jerebu mungkin datang dan pergi, begitu juga dengan perubahan cuaca. Apa yang penting ialah kita tahu bagaimana untuk menjaga diri dan keluarga ketika keadaan seperti ini berlaku,” kata Oktavianus.
Pada akhirnya, batuk mungkin kelihatan seperti perkara kecil. Tetapi apabila ia berlarutan dan mengganggu kehidupan seharian, mengenali jenis batuk dan memahami pilihan yang ada boleh menjadi langkah awal untuk mendapatkan kelegaan yang lebih sesuai.
Bagi keluarga yang sudah biasa berdepan musim jerebu dan cuaca yang tidak menentu, sedikit perhatian terhadap tanda-tanda tubuh mungkin membantu menjadikan hari-hari yang kurang selesa itu lebih mudah dilalui.


