Had liputan wartawan bukan sekat kebebasan media tapi lindungi saksi kanak-kanak dalam inkues Zara -AG

KUALA LUMPUR – Keputusan mengehadkan liputan media dengan melarang wartawan berada dalam mahkamah bagi inkues kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir dibuat bagi menjaga kemaslahatan dan melindungi saksi kanak-kanak.

Menjelaskan perkara itu Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak itu dibuat bukan untuk menyekat kebebasan media kerana maklumat diperlukan media masih boleh diperoleh menerusi peguam yang terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, banyak perkara sensitif yang berlaku sepanjang inkues berkenaan termasuk keterangan daripada saksi bawah umur, yang memerlukan pendekatan lebih berhati-hati supaya tidak menjejaskan keseluruhan prosiding.

“Tindakan mengehadkan liputan media dalam mahkamah ini adalah bersifat sementara dan hanya tertakluk kepada bahagian prosiding membabitkan keterangan sensitif daripada kanak-kanak.

“Ia perlu dilakukan bagi menjaga kemaslahatan, kredibiliti prosiding kes dan kerahsiaan saksi bawah umur.

“Kita bimbang jika tidak dikawal, kes ini boleh tercemar dan mengganggu kredibiliti mahkamah serta keselamatan saksi kanak-kanak apabila maklumat tidak benar disebar serta disensasikan terutama di media sosial,” lapor BH pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mahkamah yang tidak membenarkan liputan media secara langsung bagi segmen tertentu dalam prosiding inkues berkenaan yang berlangsung sekarang membabitkan lima saksi kanak-kanak yang didakwa terbabit dalam kes membuli Allahyarham Zara Qistina.

Mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), identiti kanak-kanak termasuk nama, tempat tinggal atau butiran ibu bapanya dilarang dihebahkan bagi melindungi mereka, sekali gus mengelak implikasi negatif terhadap masa depan mereka.

Ia juga bertujuan menghalang media daripada menggunakan laporan sensasi yang boleh menjejaskan hak dan kebajikan kanak-kanak terbabit.

Pihak yang melanggar kesalahan ini boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Zara Qairina,13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, di Papar sehari sebelumnya.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah supaya kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Dasuki berkata, keputusan larangan yang dikenakan terhadap semua saksi kanak-kanak itu turut dipersetujui Koroner Amir Shah Amir Hassan yang mengendalikan inkues itu selepas mengambil kira pandangan pasukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kes berkenaan.

“Kes Allahyarham Zara Qistina ini memberi impak berbeza dengan kes lain dan saya ikut pandangan daripada pasukan DPP demi kebaikan semua pihak terutama kanak-kanak yang terbabit sebagai saksi.

“Namun, kita benarkan media dapatkan maklumat sah melalui saluran yang betul iaitu peguam yang mewakili semua pihak terbabit tetapi jangan sesekali dedahkan identiti saksi atau tertuduh bawah umur,” katanya sambil menambah pihaknya mengamalkan konsep ‘terbuka dengan kawalan’.

Dusuki berkata, prosiding kes itu banyak dicemari media sosial dan pihaknya tidak mahu perkara itu berlarutan yang akhirnya mencemarkan imej wartawan yang menjalankan tugas secara beretika.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat