KUALA LUMPUR – Reformasi kepada pencen penjawat awam perlu dilaksanakan untuk menjaga kemampanan kewangan negara.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, reformasi sistem pencen yang dicadangkan oleh beliau tidak melibatkan penjawat awam yang ada dalam perkhidmatan hari ini tetapi syor itu untuk penjawat awam akan datang.
“Saya bukan kata saya nak mansuhkan pencen penjawat awam bagi semua yang sedang berkhidmat sekarang.
“Sebaliknya, saya kata kalau kita nak ada reformasi kepada sistem pencen supaya kita dapat menjaga kewangan negara agar ia mampan dan juga kita cukup duit untuk membuat semua perancangan pembinaan, pembangunan. Kita perlu ada satu reformasi kepada sistem pencen di mana melibatkan penjawat awam baru.
“…yakni pengambilan baru yang bukan ada di dalam perkhidmatan awam hari ini diberikan KWSP ataupun sistem yang berbeza daripada sistem yang ada pada hari ini…itu yang saya maksudkan,” jelas beliau dalam podcast Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Jumaat.
Kata Khairy, bagi mereka yang sudah ada dalam penjawat awam sebagai pegawai tetap mereka memang layak untuk dapat pencen.
“Saya tak akan kacau, saya tak akan minta supaya diambil pencen tersebut. Itu memang hak anda sebagai penjawat awam yang sedia ada.
“Apa yang saya cadangkan adalah untuk masa depan. Sebab waktu saya menjadi seorang ahli politik saya selalu membuat keputusan bukan hanya untuk hari ini tetapi untuk hari akan datang.
“Saya dah jangka perkara ini akan menjadi masalah. Sejak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri pada 2015, saya pernah bangkitkan sebagai menteri pada waktu itu Menteri Belia dan Sukan. Saya kata kalau kita tidak membawa reformasi kepada sistem pencen yang sedia ada, kita akan berdepan dengan satu tekanan kewangan kerajaan yang sangat besar,” ujarnya.
Hal ini jelas beliau, kerana jumlah penjawat awam kita semakin besar, jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat kalau dulu 60 hingga 70 tahun tapi sekarang 80 tahun lebih.
Ini bermakna orang yang akan terima pencen itu akan terima pencen itu untuk tempoh masa yang lebih lama bila jumlah penjawat awam semakin besar, jangka hayat semakin lama maka bil pencen itu akan menjadi semakin besar, kata Khairy lagi.
“Saya tak suka cakap dalam perkara yang tak merujuk kepada fakta, ramai kata otak kat lutut. Setiap tahun bila kerajaan membentangkan belanjawan oleh perbendaharaan menteri kewangan, ada satu dokumen penting yang dinamakan sebagai anggaran perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan dalam dokumen ini ditulis segala-gala perbelanjaan yang dianggarkan untuk tahun akan datang termasuk tajuk dan kod saya ambil anggaran untuk tahun ini RM380 bilion.
“Katakan pada 2023 anggaran tanggungan pencen dan bayaran bersara,RM30.5 bilion 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan.
“Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu pembayaran pencen dijangka mencecah sebanyak RM46.6 bilion pada 2030.
“Saya rasa kalau kita melenting saja kalau kita beri cadangan dan tidak melihat bahawa ini adalah bom jangka yang kalau kita tak buat sesuatu akan betul-betul menghimpit ruang perbelanjaan kerajaan untuk membina sekolah , membina hospital, klinik dan sebagainya saya rasa kita berada dalam sindrom penafian,” bidas Khairy.
Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan, pencen untuk penjawat awam di peringkat kerajaan negeri di peringkat PBT termasuk juga badan berkanun, pencen untuk pegawai tetap di PBT dan juga pegawai di badan berkanun ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan juga bukan kerajaan hal demikian beliau mengemukakan saran reformasi sistem pencen itu.
Sementara itu, bekas Penasihat Ekonomi kepada Ismail Sabri, Shahril bersetuju dengan cadangan Khairy dari segi polisi.
“Saya setuju dalam hal dasar tapi dalam semangat takut orang cari lagi point dengan KJ.
“Sekiranya tiada reformasi sistem pencen, fikirlah apakaah kesannya kepada perkara-perkara lain yang hendak dibuat dan tak boleh dibuat disebabkan tanggungan besar itu,” kata beliau.