RAHSIA DIA: Jodoh dan Ketentuan Allah SWT

- Advertisement -

Rezeki, jodoh, ajal dan maut telah ditetapkan Allah SWT sejak di Luh Mahfuz. Setiap sesuatu yang ditakdirkan untuk kita sebagai hamba menjadi rahsia-Nya kerana tiada siapa yang mengetahui apa yang bakal berlaku dalam perjalanan hidup masing-masing.

Meskipun segala-galanya telah tertulis, Allah SWT tidak pernah menghalang manusia daripada berikhtiar untuk mendapatkan yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Sesukar manapun laluan yang terpaksa ditempuhi, namun seandainya diberikan Allah keizinan, setiap niat baik yang dihajatkan manusia pasti akan menjadi kenyataan.

Allah SWT tidak menghalang kebebasan hamba-Nya memilih dan meraih apa yang mereka inginkan. Begitu juga dengan persoalan mengenai jodoh dan takdir yang dikupas dalam sesi IG Live Nurflix.tv menerusi siaran pada 26 September (Ahad) lalu yang mengetengahkan topik Rahsia Dia: Jodoh & Ketentuan Allah SWT.

Menampilkan Diana Amir sebagai moderator, barisan panel terdiri daripada pelakon, Faralyna Idris dan penyanyi yang juga pengantin baharu, Zizi Kirana bersama Ustazah Asni Mansor, sesi perbincangan itu mengupas persoalan  mengenai takdir kehidupan dan jodoh.

Misteri jodoh sukar dimengertikan hingga mencetuskan tanggapan pada segelintir masyarakat yang melihat, seandainya perjalanan sesuatu pasangan itu untuk berumah tangga dipermudahkan, bermakna mereka sememangnya ditakdirkan untuk hidup bersama.

Persoalan mengenai rahsia jodoh juga mencetuskan kekeliruan pada segelintir wanita yang pastinya mengharapkan dipertemukan dengan lelaki terbaik untuk membimbing mereka, tidak hanya di dunia, tetapi juga di akhirat.

Berkongsi pengalaman yang dilalui beberapa temannya, Diana berkata, pelbagai persoalan menyelubungi sebelum wanita membuat keputusan untuk sehidup semati dengan pasangan mereka.

Kata Diana, kebanyakan wanita meluahkan kebimbangan apakah lelaki pilihan mereka lelaki yang terbaik, malah ada yang keliru apabila berdepan ujian seperti pasangan bermain tarik tali, selain diganggu kehadiran orang ketiga ketika hendak melangkah ke alam rumah tangga.Situasi itu mencetuskan persoalan, adakah kalau jalan yang dilalui mudah, maka itu adalah jodoh, tetapi kalau susah bermakna ia bukan jodoh kita?

Menjawab persoalan itu, Ustazah Asni berkata, setiap manusia perlu yakin dan percaya bahawa rezeki seseorang berada di tangan Allah SWT.

“Kita tidak boleh meletakkan perjalanan mudah itu sebagai satu fakta. Barangkali urusan jodoh seseorang itu dipermudahkan kerana ia jalan yang didorong oleh Allah SWT. Setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza.

“Jodoh itu (akan menjadi) mudah jika kita memudahkan urusan. Ada yang memang sudah tertulis jodoh, tetapi dia yang menjadikan proses itu (ke arah pernikahan) susah.

“Bukan kerana urusan itu susah, tetapi kita yang mengambil jalan susah. Sebenarnya pernikahan ini sangat mudah kalau kita memilih jalan yang mudah,” katanya.

Memberi contoh pernikahan Zizi dan Yusuf Bahrin, baru-baru ini, Ustazah Asni berkata, pasangan itu tidak mengambil masa terlalu lama iaitu hanya empat hari untuk menyelesaikan urusan penting sebelum disatukan kerana mereka mengutamakan perkara wajib.

Katanya, pandemik Covid 19 turut mengajar sesuatu iaitu memudahkan urusan perkahwinan dan tidak perlu berbelanja besar.

“Ibu bapa perlu membuka minda dengan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak mereka dan hanya fokus kepada perkara wajib iaitu nikah.

“Perkara lain seperti majlis persandingan boleh ditangguhkan kerana itu hanya adat. Paling penting nikah perlu isytihar. Nikah wajib isytihar,” katanya.

Sementara itu, Zizi ketika berkongsi pengalamannya mendirikan rumah tangga pada musim pandemik berkata, meskipun tempoh perkenalannya dengan Yusuf sangat singkat iaitu dua bulan, dia bersyukur kerana proses pernikahannya sangat mudah dan cepat.

“Ustazah Asni merupakan antara individu yang terawal yang mengetahui tentang hubungan saya dengan Yusuf. Saya banyak berkongsi cerita bersama dia, bertanya pendapat antaranya mengenai persiapan sebelum mendirikan rumah tangga dan ada kala perbualan kami berlarutan sehingga jam 4 pagi.

“Ustazah tidak mengenali Yusuf. Apabila saya menyatakan niat kami, antara soalan yang diajukannya ialah “Siapa dia? Nak tengok gambar”. Saya memberi dia akaun Instagram Yusuf, selain meminta ustazah untuk bersama-sama melakukan solat Istikharah,” katanya.

Penyanyi lagu Eh! itu berkata, dari awal perkenalannya dan suami, dia tidak pernah mempertikai sama ada Yusuf mampu membimbing dirinya atau sebaliknya.

“Proses dan persiapan pernikahan kami sangat mudah serta cepat. Menjelang hari pernikahan kami, saya lebih tenang dan santai berbanding orang sekeliling termasuk keluarga, kawan serta pengurus,” katanya.

Zizi berkata, pernikahan itu juga menemukannya dengan kenangan paling manis apabila dia dapat kembali menghubungi bapanya yang kali terakhir ditemui ketika dia berusia 3 tahun.

“Ibu dan bapa bercerai dan kami tidak berjumpa lagi sejak usia saya 3 tahun. Dalam usaha mencari wali, termasuk untuk mengiklan mengenainya di akhbar, Allah SWT mempermudahkan urusan saya.

“Saya melakukan carian di Instagram dan terjumpa nama adik-beradik yang sebapa. Apabila dimaklumkan kepada emak, dia terlebih dahulu menghubungi bapa untuk menyatakan hasrat kami. Hanya selepas itu, baru saya bercakap dengan bapa

“Walaupun hanya dapat berhubung melalui panggilan telefon, dia memberikan kerjasama yang sangat baik. Segala dokumen penting untuk pernikahan saya dan Yusuf dihantar melalui kaedah kurier,” katanya.

Bagi Zizi, dalam setiap kesulitan pasti ada jalan keluar dan dia menyerahkan dan menggantung seluruh harapannya kepada Allah SWT yang berkuasa mengatur segala urusan hidupnya.

Turut merancang untuk membawa suaminya berjumpa dengan bapa kandungnya apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan, Zizi berkata, dia dan Yusuf sangat bersyukur kerana banyak pihak yang mendoakan kebahagiaan serta kebaikan untuk mereka.

Pernah meniti zaman kemuncak apabila dilimpahi pelbagai tawaran lakonan yang membuatkan dia tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga, Faralyna menyifatkan, perkahwinan dan zuriat memberinya ruang menebus kembali masa untuk bersama insan yang disayangi.

Akui Faralyna, keluarganya pernah membangkitkan keraguan apabila dia menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda iaitu 23 tahun kerana ketika itu, suaminya masih melanjutkan pelajaran dan belum mempunyai kerjaya tetap.

“Saya hanya mengenali suami hanya setahun dan pada masa itu, dia masih belajar dan tidak bekerja. Keluarga ragu-ragu dengan keputusan saya untuk berkahwin kerana suami tidak mempunyai kerjaya tetap. Mampukah dia menjaga saya apabila kami hidup bersama nanti?

“Walaupun begitu, keluarga memudahkan perjalanan kami, malah tidak menetapkan syarat yang tertentu seperti nilai mahar.

“Memandangkan saya datang daripada keluarga di mana ibu dan bapa tidak tinggal sebumbung, saya tidak meletakkan apa-apa harapan dalam perkahwinan. Tetapi, saya bersyukur dibesarkan dengan kasih sayang secukupnya,” katanya.

Menjawab persoalan Diana mengenai dilema dilalui ibu yang  berkerjaya, pada masa sama ingin memberikan fokus kepada anak kecil yang memerlukan perhatian, Faralyna yang sudah tujuh tahun menjalani bahtera perkahwinan berkata, setiap hari dia banyak belajar perkara baharu.

“Ketika hendak berkahwin, saya tidak terfikir untuk berhenti berlakon. Saya cuma ambil cuti dan selepas itu, mahu meneruskan kerjaya seperti biasa.

“Tetapi, selepas bernikah, saya tidak terasa untuk terus ke set penggambaran. Sebulan selepas itu, saya pula mengandung dan saya ambil keputusan berehat dan fokus pada keluarga serta bayi.

“Apabila ada anak, saya lebih gembira berbanding ketika keluar bekerja. Baru terasa saya sebenarnya rindu dikelilingi adik beradik dan bapa kerana dulu saya tidak banyak habiskan masa dengan mereka disebabkan terlalu fokus pada kerjaya,” katanya.

Menyifatkan lakonan sebagai jiwanya, Faralyna mengakui masih rindu suasana di lokasi penggambaran, namun hatinya tidak lagi terlalu mencari untuk mendapatkan semula tawaran berlakon.

Mengulas pengorbanan yang dilakukan Faralyna, Ustazah Asni berkata, Allah mencipta wanita sebagai makhluk yang mulia dan mempunyai sifat keibuan yang kental.

“Semua wanita mempunyai sifat keibuan dan itu adalah akhlak. Wanita dimuliakan dengan dikurniakan rahim yang menjadi tempat tumbuhnya manusia yang bergelar khalifah iaitu umat Nabi Muhammad SAW.

“Fitrah wanita adalah di dalam rumah. Apabila wanita seronok dapat kembali ke rumah selepas selesai urusan di luar, itu bermakna dia mempunyai akhlak yang baik ,” katanya.

Ditanya kehidupannya yang tidak lagi terikat dengan kesibukan di lokasi penggambaran, Faralyna yang juga ibu kepada dua cahaya mata perempuan berkata, apabila tidak lagi bekerjaya tetap tidak bermakna Allah menutup pintu emosi.

“Saya pernah melawan emosi sendiri dan ia berlarutan selama bertahun-tahun. Untuk membina perkahwinan yang harmoni, ia mengambil masa yang lama.

“Ketika mengandungkan anak kedua, saya dilimpahkan rezeki apabila dapat kembali aktif hingga sarat. Suami tidak pernah sekali menghalang dan baginya, jika rezeki masih ada dalam bidang ini, anggap ia sebagai hobi.

“Saya seronok kerana Allah bukakan semula jalan dalam bidang seni, tetapi saya tiada pembantu dan sanggup ambil orang untuk menjaga anak di set penggambaran.

“Tetapi, jauh di sudut hati, biarpun dapat memegang semula duit, saya tidak gembira dan rasa kehilangan sesuatu. Saya ambil keputusan berehat dan menjalani semula rutin seperti biasa. Di situ, saya lebih gembira biarpun tidak lagi mempunyai pendapatan seperti dulu,” katanya.

Ketika Diana menyentuh mengenai hijrah seseorang yang sebenarnya mendekatkan diri dengan pasangan lebih baik, Faralyna berkata, dia menemui jawapan yang dicari kerana Allah sebenarnya telah memberikan semua yang diperlukan serta mencukupi buat dirinya.

Justeru, apabila ditanya apakah dia tidak sayang meninggalkan kerjaya lakonan, Faralyna berkata, Allah memberikannya sesuatu yang lebih besar iaitu dapat kembali kepada keluarga.

“Apabila diingat semula, saya kasihan dengan anak kedua. Dia masih kecil ketika itu, tetapi saya membawanya ke lokasi penggambaran sehingga awal pagi.

“Bercakap mengenai takdir, saya pernah keguguran ketika kandungan berusia 4-5 bulan. Ketika itu, saya sangat sedih kerana sepanjang tempoh kehamilan, tiada apa-apa yang tidak baik berlaku.

“Tiba-tiba satu malam, saya terasa seperti hendak bersalin dan dalam perjalanan ke hospital, air ketuban pecah. Saya seperti tidak dapat menerima kenyataan itu dan kerap bertanya diri di mana silapnya.

“Sepanjang berpantang, saya lalui proses itu dalam keadaan tertekan dan seperti berada dalam kesedihan yang tiada penghujung, tambahan pula apabila dimaklumkan doktor itu anak lelaki.

“Saya terkesan ketika mengikuyi sesi live ustazah bersama seorang selebriti. Ketika itu, saya mendengar nasihat ustazah yang meminta kita supaya berdamai dengan takdir.

“Saya rasa bersalah kerana terlalu melayan kesedihan itu hingga saya marahkan diri sendiri. Saya sebenarnya kena redha seikhlas hati kerana jika tidak, saya tidak nampak hikmah yang Allah turunkan di sebalik ujian itu,” katanya.

Suara.tv

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat