Khatulistiwa versi dua generasi

- Advertisement -

SIAPA tidak kenal dengan Blues Gang dan lagu popular mereka Khatulistiwa.

Lagu kumpulan legenda rock blues tanah air itu dikenali ramai sejak 1983.

Istimewanya sempena Hari Malaysia lalu, kumpulan Pitahati dan penyanyi Blues Gang, Ito Mohd bekerjasama merakamkan semula lagu ini dengan beberapa perubahan.

“Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban. Bersatu Hati!” Itu bait lirik yang diperbaharui dalam pembikinan semula lagu Khatulistiwa versi baharu ini.

Penyanyi dan pemain gitar Pitahati, Ilham mencapai persetujuan bersama Ito dalam beberapa gubahan pada lirik dan lagu.

Khatulistiwa sudah menjadi antara lagu kegemaran Pitahati dan Ito, untuk itu sesi ‘jamming’ dan rakaman kali ini tidak mengambil masa lama dan mereka serasi bekerjasama dengan berbekalkan semangat yang sama yang mana mempunyai impian menyatupadukan masyarakat dengan seni muzik.

“Waktu kami ‘cover’ sebelum ini pun kami tak nak hilangkan keaslian rasa itu dan itu yang lebih penting. Lagu ‘cover’ ini kalau banyak perubahan akan membuatkan lagu itu hilang rasanya yang tersendiri.

“Ilham dan saya bersetuju untuk mengubah sebutan Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban, bersatu hati. ia lebih sempurna,” kata Ito.

Hari Malaysia pada 16 September lalu dipilih sebagai satu tarikh untuk mempersembahkan keluaran terbaharu hasil kerjasama dua generasi rock tanah air ini.

Lagu yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dulu kini disusun kembali muzik dan liriknya mengikut peredaran masa dan zaman.

Bermula dengan mengumpulkan lagu dari band tempatan yang menjadi inspirasi karya Pitahati sehingga mereka terdetik untuk menjadikan lagu Blues Gang ini sebagai sebuah lagu ‘cover’ pada persembahan mereka.

 

PITAHATI dan Ito Blues Gang bergabung dalam Khatulistiwa.
PITAHATI dan Ito Blues Gang bergabung dalam Khatulistiwa.

 

Ilham berkata, mereka tidak menyangka lagu ini masih malar segar dan sering menjadi permintaan serta bualan peminat Pitahati sehingga mereka mengambil keputusan untuk membuat sebuah muzik video hasil kerjasama pihak syarikat rakaman Luncai Emas dan Siakap Keli beberapa tahun lalu.

“Nafas lagu Khatulistiwa ini seperti ada sentuhan magis apabila pada tahun ini sekali lagi diberi peluang untuk dijadikan sebuah lagu tema reunion pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.

“Pitahati mula-mula sekali bawakan lagu ini bersempena dengan Hari Merdeka,” katanya.

Sementara itu, pemain gitar Pitahati, Hidayat berkata, ia adalah satu kesempatan buat mereka untuk memberi penghormatan buat Blues Gang.

“Ketika memilih lagu ini, kami cuba-cuba cari lagu ala-ala ‘county road’, tapi versi Malaysia dan lagu Khatulistiwa ini adalah yang paling tepat,” katanya.

Penggambaran muzik video Khatulistiwa yang berkonsepkan santai berinspirasikan tema sebuah kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum membawa Pitahati, Ito Blues Gang dan pasukan penggambaran Motion Scientist memilih Ipoh sebagai lokasi utama.

Perjalanan yang mengambil masa hampir tiga hari itu membawa mereka ke kawasan santai rakyat berbilang kaum seperti di Old Town Ipoh, Concubine Lane, Stesen Kereta Api, Ipoh Memory Lane, Padang Ipoh, Restoran New Hollywood, Super Kinta dan Stesen Bas Medan Kidd. Mereka turut singgah di Sarang Art Hub milik pengarah popular, Mamat Khalid di Tanjung Malim.

Perjalanan ini amat bermakna apabila memperlihatkan dua generasi berbeza bekerjasama dengan penuh komitmen.

Selain bekerja, Ito juga tidak kering mencurahkan nasihat dan pengalaman kepada semua.

“Saya amat berbesar hati dan berharap lagu versi baharu ini boleh memberi semangat buat kali kedua kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Produksi Luncai Emas Sdn Bhd, Keon Omar mengakui teruja dengan apa yang dilakukan.

“Saya suka melihat lagu lama diangkat dan diberi nafas baharu. Saya juga suka tengok anak-anak muda guna cara ini untuk ‘study’ dan mendekati orang lama, barulah industri muzik akan lebih bervariasi,” katanya.

Penggambaran berlangsung dengan lancar hasil kerjasama teman seperjuangan Ipoh yang lain iaitu Bittersweet, Lokein Ipoh dan keluarga Sarang Art Hub, Tanjung Malim.

Selain pembikinan lagu Khatulistiwa, Pitahati juga mengambil kesempatan ini menghiasi saluran YouTube mereka dengan sesi bual bicara Bicara & Susun Kata dan dari belakang tabir sesi rakaman dan jamming Khatulistiwa versi baharu ini.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat