Insiden Kekecohan Di Luar Tokong Akibat Salah Faham – Jalaluddin Alias

- Advertisement -

CYBERJAYA – Insiden kekecohan yang berlaku di luar Tokong Cina Chee How di Cheras semalam berpunca daripada salah faham ekoran timbul dakwaan kononnya pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat tersebut.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kehadiran Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan dan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur bersama pihak kontraktor ke lokasi itu semalam adalah untuk kerja-kerja membina pagar penghadang ‘hoarding’ bersebelahan tokong berkenaan.

Beliau menjelaskan pagar penghadang itu adalah untuk pembinaan laluan masuk ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Sungai Besi dan bukannya untuk merobohkan apa-apa binaan tokong seperti tanggapan sekumpulan penganut berkenaan.

Ujarnya lagi, di kawasan tersebut terdapat sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Thung dan SMK Jalan Sungai Besi yang mempunyai 24 kelas yang akan dibina manakala kedudukan Tokong Cina Chee How tersebut adalah berdekatan dua sekolah berkenaan.

“Pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur bersama pihak kontraktor hadir ke lokasi pada 28 September itu adalah kerja-kerja membina pagar penghadang ‘Hoarding’ bersebelahan Tokong Cina Chee How bagi pembinaan laluan masuk ke tapak projek SMK Jalan Sungai Besi, bukan untuk merobohkan apa-apa binaan tokong seperti tanggapan sekumpulan penganut berkenaan.

“Surat Pemberitahuan Pengosongan Tapak (tempoh selama 14 hari dari tarikh notis) telah dikeluarkan pada 6 Mei lalu oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Putrajaya terhadap struktur gelanggang bola keranjang, pondok pengawal, tempat letak kenderaan, struktur jejantas dan struktur pejalan kaki berbumbung yang berada bersebelahan tokong tersebut,” katanya, menerusi kenyataan media hari ini.

Jalaluddin turut melahirkan rasa kecewa terhadap insiden itu apabila terdapat pihak yang membawa kayu dan besi didakwa menyerang anggota polis serta cubaan merosakkan jentolak, hanya kerana salah anggap bahawa pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat mereka.

Beliau berkata, walaupun keadaan telah berjaya diredakan, namun insiden itu dipandang serius kerana ia melibatkan kekeruhan persepsi antara para penganut kepercayaan dengan pihak berkuasa.

“Apatah lagi ia cuba dimanipulasi dan dieksploitasi di media sosial oleh sesetengah pihak sehingga berisiko besar untuk menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.

“Justeru, saya pohon pihak berkuasa berkaitan dapat menyegerakan kes siasatan ini agar punca permasalahan insiden tersebut dapat kita peroleh segera, dan tindakan susulan dapat diselesaikan dengan harmoni,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati semua pihak agar mencari titik penyatuan dan memberhentikan proses menggali perbezaan agar permuafakatan yang ideal bersama dapat dibentuk.

“Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa, insiden sebegini tidak boleh berlaku di lain kali di mana-mana tempat demi menjaga prinsip kita sebagai Keluarga Malaysia yang tercinta,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat