KUALA LUMPUR – Bersatu mengecam sekeras-kerasnya sikap hipokrasi Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya lantang menentang Akta Hasutan 1948 dan berjanji untuk menghapuskan akta yang dikatakan undang-undang zalim atau “draconian law” dalam menifesto PH sekiranya membentuk kerajaan selepas PRU-15.
Ironinya, setelah menjadi kerajaan mereka telah menggunakan Akta Hasutan 1948 berulang kali secara zalim untuk menekan dan menindas lawan politik, bidas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 27 Ogos 2024 yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyifatkan tindakan kerajaan mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan 1948 sebagai satu lagi pendakwaan terpilih bermotif politik dan berniat jahat bagi menekan pimpinan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).
“Tambahan pula apabila pihak polis dan Jabatan Peguam Negara memutuskan secara tergesa-gesa untuk mendakwa Muhyiddin tanpa mengendahkan fakta dan keterangan daripada individu-individu utama yang terlibat serta memperhalusi dokumen-dokumen yang telah diserahkan.
“Pertuduhan terhadap Muhyiddin sesungguhnya amat luar biasa apabila Ketua Polis Negara memperakui bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara pada hari yang sama kenyataan Muhyiddin Yassin direkodkan bersama dokumen-dokumen seperti surat arahan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan Akuan Berkanun (SD) sebagai bukti sokongan majoriti; bukti 115 Akuan Berkanun daripada ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin dan
akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong,” tegas Hamzah dalam kenyataan.
Justeru katanya, Bersatu percaya bahawa institusi kehakiman dalam negara akan bertindak secara bebas, adil dan bijaksana dalam menilai keseluruhan peruntukan dalam Akta Hasutan 1948, termasuk peruntukan pengecualian bagi suatu perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan, atau benda lain untuk disifatkan sebagai menghasut.
“Mesyuarat Khas MPT Bersatu membuat ketetapan sebulat suara untuk berdiri teguh bersama Muhyiddin Yassin dan menyeru seluruh pimpinan, akar umbi dan penyokong parti untuk bersolidariti bersama Muhyiddin Yassin menentang segala bentuk kezaliman yang menghalang pemimpin PN terus bersuara menegakkan kebenaran,” ujar Hamzah lagi.