UMNO Jangan Jadi Macam Pembangkang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- UMNO bahagian Batu tidak bersetuju apabila terdapat segelintir ahli parti itu bertindak mengejek Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Merdeka Sabtu lalu.

Ketuanya, Datuk Seri Yahaya Mat Ghani berkata, meskipun beliau senada dengan pucuk pimpinan parti agar bersolidariti dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, namun katanya, tindakan segelintir ahli UMNO pada Sabtu lalu dilihat tidak wajar.

“Sebagai sebuah parti politik dan ahli yang matang, kita seharusnya mempunyai pekerti dan nilai adab yang tinggi dalam menguruskan sebarang kekusutan, permasalahan dan kekalutan yang dihadapi parti.

“Bukan dengan cara mencerca, memaki dan memalukan pemimpin kita sendiri.

“Kita jangan samakan UMNO dengan parti lawan kita yang lebih buruk perangai mereka sehingga memaki, membaling kerusi sehingga ada yang menumbuk pemimpin mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, Yahaya turut mengingatkan bahawa rakyat akan menilai segala tingkah laku pemimpin dan ahli UMNO.

Justeru, katanya, semua pihak dalam UMNO perlu bertenang dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Majlis Kerja Tertinggi dan kepimpinan tertinggi “top 5” parti untuk menentukan hala tuju serta pembubaran Parlimen.

“Sebarang spekulasi akan lebih mengeruhkan keharmonian, perpaduan dan kesepakatan kita dalam mendepani musuh politik sebenar kita di luar sana,” ujarnya lagi.

Sabtu lalu, segelintir ahli UMNO dilihat “mengejek” Ismail ketika namanya disebut oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika Zahid menyampaikan ucapan khas pada pertemuan khas itu, terdapat ahli yang menjerit “di mana Ismail Sabri” berikutan ketidakhadiran naib presiden UMNO pada program tersebut.

Pada program berkenaan, Datuk Seri Azalina Othman Said juga secara terbuka mengkritik Ismail.

Ismail difahamkan telah mempunyai acara sendiri iaitu pelancaran Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Kebangsaan dan Penjenamaan Semula Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Dataran Kerayong, Bera.

kredit foto: Minda Rakyat

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat