KUALA LUMPUR- Langkah supaya semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet perlu memohon lesen bukannya untuk menghalang kebebasan bersuara sebaliknya menyekat kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, kebebasan bersuara masih dibenarkan seperti digariskan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun ia bukan satu lesen untuk semua berbuat demikian sehingga melebihi garisan batasan ditetapkan.
Katanya, selama ini semua platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan sekali gus membuka ruang segelintir pihak untuk melakukan jenayah dalam talian.
“Langkah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC) agar semua perkhidmatan media sosial mohon supaya mereka mematuhi garisan sempadan peraturan dan undang-undang ditetapkan bagi memastikan penggunaannya tidak melampaui batas.
“Mungkin sesetengah menganggap langkah ini untuk menyekat kebebasan bersuara dan hak asasi manusia, namun penggunaan media sosial mesti ada kawalan agar tidaklah berlaku jenayah dalam talian seperti mana sebelum ini,” lapor Utusan.
Kelmarin MCMC memaklumkan satu kerangka baharu bagi mengawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet akan diperkenalkan pada 1 Ogos ini dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
Menerusi kerangka baharu itu, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Suruhanjaya itu menjelaskan, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan.
Mengulas lanjut, Siraj berkata, langkah MCMC itu bukanlah bermakna semua pengguna media sosial perlu mempunyai lesen sebaliknya ia hanya membabitkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet.
Katanya, tanpa kawasan selia media sosial boleh menyebabkan penggunaannya tanpa pemantauan walaupun negara ini mempunyai undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebelum ini terdapat platform seperti Facebook, X, dan terbaharu TikTok. Pada masa akan datang, tidak tahu pula akan ada kemunculan baharu. Jadi, langkah ini dilihat tepat pada masanya untuk memantau media sosial,” katanya.
Jelas beliau, langkah ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat, serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga