Alasan Peguam Baru, Najib Gagal Tangguh Kes SRC

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pendengaran bagi rayuan kes rasuah SRC International yang dijadual bulan depan.

Sehubungan itu rayuan berkenaan akan didengar selama 10 hari mulai 15 Ogos di Mahkamah Persekutuan seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Pada Selasa lalu, peguam yang baru dilantik Najib diketuai Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan berkenaan memandangkan pasukan itu baru dilantik.

Lapor Malaysiakini, pasukan peguam yang baru menggantikan pasukan peguam terdahulu yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi kes rayuan berkenaan.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berusaha untuk membatalkan sabitan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC, serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Ketika dihubungi pihak media, timbalan pendakwa raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul mengesahkan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan permohonan penangguhan itu semasa pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah dan Siti Hajar Mustaffa.

“Hari ini pengurusan kes bagi permohonan bukti baru yang difailkan peguam terdahulu (bagi Najib, iaitu peguam dari Shafee & Co). Kemudian pindaan kepada usul tersebut untuk mendapatkan bukti baru.

“Kemudian isu pertukaran peguam (melibatkan pasukan peguam diketuai Hisyam) untuk rayuan utama.

“Mahkamah (persekutuan) telah memaklumkan bahawa tarikh pendengaran yang ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos 2022 dikekalkan, dan arahan untuk mematuhi perlu dipatuhi,” kata DPP, sambil menambah pendengaran akan dijalankan secara fizikal di mahkamah terbuka.

Usul untuk mendapatkan bukti baru merujuk kepada permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi membatalkan sabitan bersalah terhadapnya dalam kes SRC, berhubung dakwaan bahawa hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan.

Ashrof berkata, mahkamah persekutuan menetapkan 15 Ogos untuk mendengar permohonan bukti baru Najib.

Semasa pengurusan kes yang diadakan melalui aplikasi zoom, pihak pendakwaan turut diwakili oleh DPP V Sithambaram.

Najib diwakili oleh Hisyam serta peguam Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam.

Turut hadir ialah Shafee, yang sebelum ini merupakan peguam bela Najib dalam rayuan itu.

Pada 8 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan pada 2020 oleh Nazlan yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib.

Nazlan kemudian dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Najib didapati bersalah dan dikenakan denda atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC.

Sebelum ini anak syarikat 1MDB, SRC menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.