Ahli Parlimen Terjemah Semangat Tasamuh Menerusi Kelulusan RUU Anti Lompat – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan larangan Ahli Parlimen bertukar parti dengan sokongan sebulat suara di Dewan Rakyat semalam disifatkan satu terjemahan semangat Tasamuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semangat Tasamuh jelas diterjemahkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat apabila mereka sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik sekaligus menyokong meluluskan RUU tersebut demi Keluarga Malaysia.

“Semangat Tasamuh ini telah dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W semasa membangunkan kota suci Madinah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang, merentasi kaum dan warna kulit.

“Justeru, sikap toleransi atau berlapang dada bukan hanya membolehkan kita untuk terus membangun sehingga dihormati, tetapi ia juga dapat mengelakkan kita daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan,” katanya, ketika berucap menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri bersempena sambutan Maal Hijrah Tahun 1444H/2022M yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen, sebentar tadi.

Perdana Menteri selanjutnya berkata, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ juga bersesuaian dengan latar kehidupan rakyat pada hari ini selepas lebih dua tahun berjuang memerangi krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.

Beliau berkata, Maal Hijrah bukan sekadar menghayati penghijrahan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dari kota suci Mekah ke kota Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, namun ia juga mempunyai pengertian yang lebih besar.

“Hijrah dalam konteks hari ini adalah berusaha untuk mengubah diri menjadi individu yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain.

“Dalam ruang lingkup tugas tersendiri, kita semua bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan, dan kesyukuran sepertimana yang ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Ujarnya lagi, nilai-nilai tersebut amat penting untuk rakyat Malaysia tatkala berdepan dengan cabaran yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.

“Alhamdulillah atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis yang dihadapi seluruh dunia pada hari ini dapat kita lalui biarpun kesannya tetap dirasai.

“Peristiwa Hijrah juga mengajar kita supaya bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran atau kemungkinan. Dengan keadaan itu, kita dapat bersiap siaga sekiranya sebarang peristiwa buruk berlaku.

“Saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1444 kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam, di mana jua anda berada.

“Raikanlah tahun baharu ini dengan semangat dan kekuatan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran demi kemaslahatan ummah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat