Sidang Khas Dewan Rakyat Ditangguh Kepada Isnin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini yang sepatutnya membincangkan isu sosial ekonomi rakyat bertukar topik selepas tumpuan beralih kepada isu darurat susulan kenyataan Istana Negara.

Hanya kira-kira dua jam setengah persidangan hari ini berjalan mengikut Aturan Mesyuarat dengan pembentangan penerangan berkenaan pakej-pakej bantuan ekonomi oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan kemudiannya sempat diminta penjelasan oleh beberapa Ahli Parlimen.

Selebihnya, mesyuarat ditangguhkan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 12(2) sebanyak lima kali bermula pukul 12.30 tengah hari, sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada pukul 5.15 petang mengumumkan penangguhan mesyuarat sehingga Isnin ini pukul 10 pagi.

Pada awalnya penangguhan dibuat Mohd Rashid bagi membincangkan lebih lanjut mengenai Aturan Mesyuarat selepas dewan kecoh apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bangkit membacakan teks penuh kenyataan Istana Negara.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini Seri Paduka menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.

Seri Paduka menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada Isnin telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Al Sultan Abdullah turut menegaskan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sesi mesyuarat itu yang sepatutnya bersambung 15 minit kemudian bagaimanapun ditangguhkan sekali lagi oleh Mohd Rashid sehingga 2.30 petang dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang masuk selepas waktuk rehat menangguhkan lagi sehingga 3.30 petang.

Ketika ramai Ahli Parlimen dan orang ramai menanti mesyuarat bersambung pada 3.30 petang, Mohd Rashid yang masuk selepas loceng dibunyikan, sekali lagi menangguhkan mesyuarat sehingga 5.15 petang atas alasan terdapat kes positif COVID-19 di kalangan petugas Parlimen dan mengarahkan semua yang berada di Bangunan Parlimen membuat saringan.

Mohd Rashid ketika mengumumkan mesyuarat ditangguh buat kali kelima, turut memaklumkan hasil saringan dijalankan di Bangunan Parlimen hari ini, dua lagi kes positif COVID-19 dikesan.

Terdahulu, Tengku Zafrul pada sesi penerangan, memaklumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion dilaksanakan sejak pandemik COVID-19 melanda negara membuktikan kerajaan mendengar dan bertindak supaya rakyat dan ekonomi terus bertahan dalam tempoh mencabar ini.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) pula ketika meminta penjelasan daripada Tengku Zafrul, mahu kerajaan memberi perhatian kepada morotarium tanpa faedah, ekonomi sebelum dan pasca COVID-19 selain mencadangkan elaun tambahan perlu diperuntuk kerajaan kepada semua petugas hadapan bagi menghargai peranan mereka.

Sepanjang mesyuarat hari keempat ditangguhkan sehingga 5.30 petang tadi, difahamkan berlangsung perjumpaan menteri-menteri Kabinet di kediaman perdana menteri.

Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang media di Bangunan Parlimen memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan usul kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bahawa Dewan Rakyat hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera.

Berikutan keadaan yang berlaku itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Whip kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini.

“Justeru, saya berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat