Atasi Ego Besar ‘Naga-Naga Tua’ Dengan Idea Radikal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sepertimana yang dapat kita perhatikan hari ini, dalam suasana politik lama yang masih menebal sentimen polarisasi, ada beberapa sosok muda yang menggerakkan kerjasama tanpa mengira dari mana mereka datang untuk membawa negara keluar dari krisis dahsyat ini.

Penulis, wartawan dan pengasas PUSAKA, Eddin Khoo juga melihat suasana baharu itu, yang disifatkan umpama sinar harapan untuk naratif politik baharu tanah air. Mungkin inilah rahmat yang dapat digarap daripada musibah ini.

Senario seperti Khairy Jamaluddin menjemput Ong Kian Ming untuk bersama menjayakan proses vaksinasi misalnya, serta pertukaran pendapat antara wajah baharu Ahli-Ahli Parlimen telah membuka pintu kepada pentas bagi mengutarakan idea-idea segar dan konvensional.

Namun tegas Eddin, cabarannya adalah mereka perlu berdepan dengan ego besar sosok-sosok besar politik lama.

“Saya rasa dalam kerangka parti politik mereka itu, sekarang ini mereka harus bersemuka dengan ‘naga-naga’ tua. Sebenarnya kita sangat terjebak hasil kemelut ego ‘naga-naga’ tua.

“Saya memang mengiktiraf kepintaran dan kebijaksanaan kebanyakan daripada YB-YB yang agak muda, tetapi saya kurang yakin apabila dalam kerangka parti politik ini ia menjadi satu budaya angkuh sahaja,” jelas beliau.

Hari ketiga sidang Mesyuarat Khas Parlimen pada Rabu menyaksikan beberapa isu besar dan radikal, menurut Eddin, dibangkitkan dan diperbahaskan seperti perihal tidak menjenayahkan perlakuan bunuh diri.

Kata Eddin, ini adalah satu perubahan pemikiran yang selama ini terlalu terkongkong dalam kerangka agama dan tradisi lama, di mana perbincangan menyentuh pandangan dari pelbagai sisi dalam mencari punca permasalahan tersebut untuk ditangani.

“Kita harus membuka ruang untuk satu masa hadapan yang radikal. Saya tidak merujuk kepada politik radikal tetapi buah fikiran dan perbincangan yang benar-benar radikal.

“Ini adalah satu anjakan paradigma dalam budaya kita apabila kita cuba memahami fenomena bunuh diri ini dari segi psikologi, ekonomi, sosiologi dan sebagainya dan bukan hanya mengikut tradisi sahaja,” katanya.

Nyata, banyak lagi anjakan minda yang perlu dicetuskan, termasuk budaya suka ‘bergaduh’ di dalam Parlimen seperti yang disuarakan oleh seorang pemimpin muda, Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau merasakan yang bukan sahaja minda ahli politik, malah rakyat secara umumnya yang sebahagiannya suka melihat keriuhan tidak berasas di dalam Parlimen tidak seharusnya dinormalkan.

“Rakyat juga perlu melihat bahawa mereka menghantar Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat bukan untuk bergaduh. Kadang-kadang rakyat ini lebih suka jadi macam penonton tinju, mereka suka tengok Ahli Parlimen bergaduh.

“Malah saya sendiri pun sebelum masuk Dewan ramai yang pesan “tutuh berat-berat, kata berat-berat.” Jadi minda sebegini perlu diperbetulkan sehingga menghasilkan Ahli Parlimen yang tidak merasakan memekik dan sehingga dihalau keluar dari Dewan itu menjadikan mereka hero,” katanya lagi.

Walaupun masih wujud perangai sebegitu hari ini, namun beliau melihat ia tidak seteruk dahulu dan merasakan yang kita akan memasuki fasa di mana boleh duduk bersama berbahas secara matang dan tidak lagi berlaku suasana hiruk-pikuk bagai di pasar itu.

Melihat keadaan hari ini sememangnya banyak lagi aspek yang memerlukan perubahan, dan ianya bermula dengan sikap.

Ego tidak boleh dibuang terus kerana ia adalah suatu sifat pertahanan diri, namun ia perlu direndahkan dengan keterbukaan menerima pandangan dan mendapatkan nasihat daripada sesiapa pun tanpa prasangka, apatah lagi dalam waktu getir ini.

Justeru tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, kerajaan hari ini harus lebih ikhlas dalam menjemput pihak pembangkang bersama dalam usaha pemulihan negara dan bukannya memanggil mereka sekadar untuk cukupkan syarat.

“Di pihak pembangkang ada tokoh-tokoh seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Lee Boon Chai, masing-masing mantan Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan. Sepatutnya mereka ini dimanfaatkan pengalaman mereka kerana mereka adalah doktor pakar dan terlatih.

“Tak perlu disebut wujudkan Pelan Pemulihan Negara baru nak jemput, sepatutnya dari awal lagi. Maksudnya menteri-menteri di pihak kerajaan perlu berpijak di bumi yang nyata, datang jumpa dan jemput kami bukan hanya sebagai tokenisme atau hanya nak melengkapkan,” ujarnya.

Daripada segala yang dikatakan oleh ahli panel Dialog Tiga Penjuru minggu ini, di sebalik segala idea yang diluahkan untuk menambah baik cara kita menangani krisis berlapis yang dihadapi ini, nyata penegasan dan seruannya hanya satu – berubah.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat