Polis Tahan Lelaki Langgar, Seret dan Belasah Rakan Sampai Mati

- Advertisement -

BUTTERWORTH- Seorang lelaki ditemui mati dibunuh rakannya sendiri dalam kejadian yang berlaku di Taman Dahlia, Mak Mandin di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa Lau Weng Heng, 43, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Bunga Tanjung Satu di sini selepas membeli sarapan untuk emaknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dirempuh oleh suspek yang menaiki kereta jenis Proton Wira sebelum dia tercampak di atas jalan raya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek bertindak menyeret mangsa sejauh 15 meter sebelum dia keluar dari kenderaannya dan membelasah lelaki itu dengan menggunakan senjata dipercayai sebatang kayu.

“Kejadian berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat berhampiran lokasi kejadian.

“Melalui rakaman CCTV itu kita mendapati selepas dirempuh mangsa masih lagi bernyawa dan suspek kemudiannya bertindak memukul mangsa bertubi-tubi sehingga dia tidak sedarkan diri berhampiran dengan sebuah kereta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Noorzainy berkata, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dan pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, penduduk yang menyedari insiden itu menghubungi polis bagi melaporkan kejadian sebelum sepasukan polis tiba di lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, mangsa merupakan seorang duda ditemui dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah dan pemeriksaan pada mayat mangsa mendapati terdapat kesan seret dan kecederaan di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

“Siasatan di tempat kejadian juga menemui kesan serpihan kayu yang dipercayai senjata digunakan suspek.

“Dengan kerjasama dan maklumat diberikan penduduk berhampiran membawa kepada tangkapan suspek berusia 36 tahun di rumahnya yang terletak selang satu lorong dengan lokasi kejadian kira-kira jam 8 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya masih lagi menyiasat motif pembunuhan itu berikutan suspek setakat ini enggan memberikan kerjasama.

Katanya, semakan yang dibuat mendapati suspek dan mangsa mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi lokasi kejadian apabila ibu mangsa dilihat beberapa kali pengsan apabila mendapati anaknya terbaring kaku dengan bungkusan makanan yang dibeli untuknya bertaburan di atas jalan raya.

Bagaimanapun, wanita itu berjaya ditenangkan oleh ahli keluarga sebelum dia diarahkan beredar dari lokasi kejadian.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat