Kerajaan Tubuh Pasukan Jihad Khas Tangani Inflasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan, kerajaan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu telah bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas ini berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai .

“Kemudian semua maklumat itu akan menjadi panduan bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

“Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau juga memberitahu, sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia.

“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.

“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, pasukan ini dianggotai Menteri Kewaangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Kata Perdana Menteri lagi, pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” jelas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat