KUALA LUMPUR- Kemelut kepemimpinan dalam UMNO perlu diselesaikan segera bagi mengelak pembangkang mengambil kesempatan dan menggunakan situasi kecelaruan itu sebagai batu loncatan.

Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, langkah terbaik adalah kembali kepada keputusan dan ketetapan yang dibuat perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Mac lalu.

Malah beliau berkata, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang mencetuskan kecelaruan dalam parti susulan sidang media selepas pemecatannya daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga perlu akur dengan ketetapan itu.

Mengulas lanjut, katanya selain memutuskan ketetapan untuk menyerahkan urusan dan pentadbiran parti kepada ‘Top 5’ atau lima pemimpin tertinggi parti, perwakilan juga memutuskan urusan pentadbiran negara dan Kabinet diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Jika semua pimpinan tertinggi parti termasuk ahli MKT dan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sendiri akur dengan ketetapan seperti dipersetujui perwakilan pada PAU lalu, persengketaan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi tidak akan berlaku.

“Kami pimpinan parti di peringkat negeri dan bahagian sudah letih terutama mengatur gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya ketika mengulas desakan Tajuddin supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri secara terhormat.

Lapor BH di Terengganu lagi, ditanya
mengenai pendirian UMNO negeri, Rozi yang juga Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu, berkata pendirian parti negeri kekal untuk menyokong institusi presiden.

Katanya, kemelut kepemimpinan berlaku perlu diselesaikan segera bagi mengelak parti pembangkang mengambil kesempatan atas kecelaruan yang berlaku.

“Tajuddin yang bakal dilantik sebagai duta khas sepatutnya tidak melatah dan mempertikaikan keputusan Ahmad Zahid yang menggugurkannya daripada senarai ahli MKT UMNO.

“Beliau menduduki jawatan sebagai ahli MKT atas pelantikan khas Presiden dan bukannya dipilih perwakilan,” katanya.

Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Telemong berkata, sebagai pemimpin berpengalaman, Tajuddin sepatutnya lebih memahami garis panduan pelantikannya sebagai ahli MKT selepas tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden.

“Pengguguran Tajuddin sebagai ahli MKT adalah hak dan kuasa Presiden dan pemecatan itu tidak boleh dipertikaikan selain tidak perlu dibincangkan pada mesyuarat tertinggi parti.

“UMNO negeri menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada ‘Top 5’ untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku,” katanya.

kredit foto: Sinar Harian