Tolak karya ‘fotostat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Teknik pembikinan menepati standard antarabangsa menjadi prasyarat untuk filem tempatan menembusi pasaran global dan diterima penonton.

Pengetahuan mendalam mengenai proses pembikinan filem termasuk penggunaan peralatan seperti jenis kamera, mampu memberi kelebihan kepada produk tempatan menyerlah di pasaran antarabangsa.

Tiga sutradara yang pernah menghasilkan filem yang meraih pengiktirafan dunia berkongsi petua menghasilkan naskhah bermutu dalam program FDAM Live anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bertemakan ‘Filem Kita Ke Persada Dunia, Mampukah Kita?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook FDAM, baru-baru ini.

Penerbit dan pengarah terkenal, Amir Muhammad, berkata aspek teknikal seperti sudut kamera atau ‘shot’ perlu diberi fokus oleh pembikin filem tempatan.

“Kami pastikan ‘shot’ sekurang-kurang daripada segi teknik tidak ditolak penstriman utama dunia seperti Netflix. Kami tidak mahu selepas siap, dapat maklum balas filem okay tetapi kamera tidak menepati piawaian mereka.

“Saya masih ingat, ketika berjumpa Teck Tan iaitu pengarah filem Spinning Gasing, kami berbincang mengenai pengedaran antarabangsa.

“Beliau menyatakan sekurang-kurangnya, filem tidak ditolak atas alasan teknikal. Kalau alasan cerita tidak ‘best’ atau lakonan tidak bermutu, tidak mengapa kerana itu subjektif. Tetapi asas piawaian harus ada.

“Sebab itu, kami selidik jenis kamera yang dimahukan Netflix,” katanya.

Amir adalah penerbit filem Roh yang meraih pengiktirafan antarabangsa apabila filem terbitan Kuman Pictures itu ditayangkan di Amerika Utara, Kemboja, Brunei dan Singapura serta platform penstriman dunia, Netflix.

Amir berkata, soal jalan cerita dan pemilihan pelakon tidak ada kaitan.

“Kami serahkan kepada pengarah untuk membuat apa yang dirasakan perlu. Isi filem tidak dibuat begitu ‘calculative’ tetapi mutu gambar dan bunyi, kami pastikan menepati piawaian antarabangsa biarpun bajet tidak tinggi,” katanya.

Amir berkata, dinilai daripada segi teknik, Roh bukanlah filem yang mampu mengalahkan filem besar atau sederhana kerana dihasilkan dengan bajet RM360,000 tanpa kesan khas mengujakan.

Namun, Roh menghidangkan cerita unik dan ‘setting’ tersendiri.

“Selepas Roh ditayangkan di Netflix, kita terima banyak ulasan dari Sepanyol, United Kingdom (UK) dan sebagainya.

“Pengulas berpendapat Roh sebagai ‘folk horror’ atau seolah-olah dongeng dan asing daripada budaya mereka.

 

Roh dianggap unik dan dibikin pada kos rendah untuk filem sebanyak RM360,000. Foto Ihsan Kuman Pictures
Roh dianggap unik dan dibikin pada kos rendah untuk filem sebanyak RM360,000. Foto Ihsan Kuman Pictures

 

“Namun, Roh dianggap menarik sebab mengambil tempat dalam hutan, iaitu bukan dari hutan di negara mereka, selain faktor Islam dan budaya,” katanya.

Amir berkata, biarpun penonton di luar negara tidak begitu memahami Roh, namun, aspek ‘look and feel’ filem berkenaan berbeza.

“Mungkin bernasib baik kerana banyak artikel memperkatakan Roh selari dengan filem arahan Joko Anwar, Perempuan Tanah Jahanam yang dicalonkan pada Anugerah Akademi.

“Mereka anggap ini suatu aliran baharu filem seram dari negara Islam yang menggunakan penceritaan lain daripada gaya filem ‘Mat Salleh’,” katanya.

Amir berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang dirancang.

“Tetapi secara logik, jika kita berada di Amerika Syarikat (AS) dan tonton filem Hollywood, apabila memilih filem luar, sudah pasti mahu menonton karya berbeza.

“Kenapa kita mahu menonton filem ‘copy paste’ atau fotostat apa yang mereka sudah ada. Mereka hendak melihat sesuatu yang berbeza.

“Jadi muncul fenomena beberapa filem Asia yang berjaya ditayangkan walaupun dalam kategori kecil seperti ‘art house’ atau ‘indie’ dan sebagainya. Ia bukan contoh filem aksi ‘thriller’ tetapi filem lebih kecil yang unik daripada segi budaya dan penampilan,” katanya.

Pengarah filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie, Ray Lee berpendapat filem Malaysia memiliki banyak kriteria dan ciri untuk menembusi pasaran dunia.

“Kita ada budaya yang jarang diketengahkan kepada khalayak dunia seperti aspek bahasa dan adat resam.

“Kita beritahu penonton di luar negara bagaimana Malaysia menerbitkan filem ikut corak dan ekosistem masyarakat negara ini.

“Saya sebagai pengarah Cina Malaysia boleh bercakap Hokkien, Mandarin serta dicampur Melayu dan Inggeris, penonton dan pembikin filem tertanya bagaimana hendak menyeragamkan filem Malaysia.

 

Lee menjelaskan konsep muhibah yang dihidupkan rakyat Malaysia mampu diangkat menjadi cerita yang baik untuk filem. Foto Ihsan Ray Lee
Lee menjelaskan konsep muhibah yang dihidupkan rakyat Malaysia mampu diangkat menjadi cerita yang baik untuk filem. Foto Ihsan Ray Lee

 

“Bagi mereka, semua bercakap bahasa berbeza dan Malaysia adalah negara unik di mana boleh memulihara bahasa ibunda,” katanya.

Tambah Lee, Malaysia memiliki istilah muhibah seperti filem Ola Bola dan karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang banyak memaparkan tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.

“Ini suatu keunikan di mana di luar negara, mereka tidak memaparkan budaya ini. Sebagai contoh, filem AS kena 100 peratus membawa budaya Amerika.

“Di Malaysia, kita boleh tonjolkan budaya Cina, India dan Iban tetapi dipanggil filem Malaysia. Ini sangat mengagumkan mereka bagaimana kita boleh mencipta sistem atau strategi untuk memaparkan kepelbagaian kita kepada dunia,” katanya.

Jelasnya, filem Belaban Hidup : Infeksi Zombie dihasilkan daripada filem pendek yang menjalani penggambaran di Kuala Kubu Bharu pada 2016, diterima kerana keunikannya.

“Filem ini menggabungkan budaya Iban dengan kemodenan ‘zombie’. Sepanjang hidup kita tidak pernah menyatakan makhluk itu ‘zombie’, tapi dalam filem, ia adalah mayat hidup.

“Dalam filem ‘zombie’, ia menggambarkan metafora kepenggunaan, kapitalisme, kemusnahan hutan, globalisasi dan anti sosial bergantung kepada penonton untuk menilainya,” katanya sambil menambah filem berkenaan sudah meraih 20 anugerah termasuk menjadi pilihan rasmi pada festival filem di Amerika Selatan serta festival filem seram di Mexico dan Russia.

Sementara itu, pengarah Viknesh Perrabu menceritakan pengalaman memperbaiki kelemahan filem pertama yang dihasilkan pada 2016 sebelum tampil dengan filem Paramapatham.

 

Viknesh memperbaiki banyak kesilapan dalam bidang sinematografi, suntingan dan lakonan bagi menyiapkan filem Paramapatham. Foto Ihsan Viknesh Perrabu
Viknesh memperbaiki banyak kesilapan dalam bidang sinematografi, suntingan dan lakonan bagi menyiapkan filem Paramapatham. Foto Ihsan Viknesh Perrabu

 

“Saya fikir mahu memperbaiki banyak kesilapan kerana saya sangat lemah dalam bidang sinematografi, suntingan dan lakonan.

“Apabila dipertontonkan bukan di bawah Skim Wajib Tayang, filem saya mendapat pandangan berbeza daripada ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), FDAM dan kumpulan ‘senior’.

“Saya menghabiskan dua tahun untuk menghasilkan Paramapatham dan tidak menjangka menang anugerah,” katanya.

Viknesh berterima kasih kepada Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim dan pengurusan persatuan yang banyak membantunya.

Bersaing filem antarabangsa terutama di India, Viknesh mengakui filem Tamil tempatan mempunyai potensi menembusi pasaran global.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat