Kerajaan Melaka Iktiraf Media Sebagai Rakan Strategik – KM

- Advertisement -

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka sentiasa mengiktiraf media tempatan mahupun antarabangsa sebagai rakan strategiknya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata sebagai rakan strategik, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sebarang cadangan, idea, pandangan mahupun kritikan membina daripada media demi kebaikan negeri dan rakyat Melaka.

“Ini kerana, tanpa bantuan dan kerjasama erat daripada pihak media, agak sukar bagi pihak pentadbiran khususnya kerajaan negeri merangka perancangan pembangunan negeri terutama dari segi penyampaian maklumat yang tepat dan sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Banda Hilir di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 700 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata dunia kewartawanan harus kekal relevan seiring pembangunan teknologi yang mana maklumat kini hanya berada di hujung jari.

Justeru, beliau menyeru agar sebarang maklumat yang diperoleh dilaporkan dengan penuh beretika dan bertanggungjawab.

“Profesionalisme kewartawanan perlu dipegang teguh oleh para pengamal media sekalian. Laporkanlah apa juga berita dengan penuh fakta, adil dan saksama.

“Sesungguhnya mata pena tuan-tuan dan puan-puan mampu membina negara bangsa jika digunakan secara positif,” katanya.

HAWANA 2022 yang disambut hari ini bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat