Ahli Ekonomi Berpendapat Penutupan Penuh Perlu, Jangka Satu Lagi Pusingan Rangsangan Ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi berpendapat penutupan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah langkah sewajarnya untuk menangani lonjakan kes COVID-19.
Sehubungan itu, mereka berpandangan satu lagi pusingan rangsangan ekonomi amat dijangka untuk dilaksanakan, namun secara bersasar dan mengikut tempoh tertentu.

“Dengan mengambil kira kes baharu yang lebih tinggi dan bagaimana ia mungkin memberi kesan kepada kapasiti penjagaan kesihatan kita, wujud keperluan mendesak untuk memutuskan rantaian jangkitan itu secepat mungkin,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Mengenai sekatan selanjutnya terhadap aktiviti ekonomi di samping ketidaktentuan sepanjang tempoh penutupan penuh itu, beliau berkata pemulihan ekonomi dijangkakan rendah.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan terhadap permintaan global diyakini akan terus menyokong sektor ekonomi utama seperti pembuatan, manakala industri perkhidmatan dijangkakan menjadi amat terbatas.

“Memandangkan sektor perkhidmatan menyumbang lebih 50 peratus daripada ekonomi, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia mungkin tidak berkembang pesat ekoran prosedur operasi standard yang tegas dan pergerakan orang ramai yang terhad,” katanya.

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, wujud kebimbangan serta merta kepada individu dan peniaga mengenai impak negatif seperti yang berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

“Memandangkan PKP sepenuhnya ini akan diteruskan secara berperingkat yang mungkin berlaku kira-kira enam minggu, ia akan memberikan impak negatif kepada ekonomi seperti yang berlaku pada suku kedua 2020 apabila kita mengalami penguncupan KDNK -17.1 peratus.

“Perkara yang sama akan berlaku terutamanya bagi pertumbuhan suku kedua tahun ini. Sehubungan itu, kerajaan mesti melaksanakan satu lagi pelan bantuan fiskal untuk membantu kumpulan yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata ia pastinya satu keputusan yang sukar untuk dilaksanakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Secara jelas, beliau berkata ekonomi menerima tekanan dalam jangka pendek, namun, sebaik sahaja sekatan pergerakan itu tamat, momentum itu boleh dibina semula pada peringkat makro.

“Ini merupakan tukar ganti di antara epidemiologi dan ekonomi. Semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama erat untuk memerangi gelombang baharu COVID-19.

“Mendapatkan vaksin adalah satu-satunya penyelesaian untuk mengembalikan semula ekonomi kepada tahap sebelum pandemik COVID-19,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat berkata, sepanjang tempoh penutupan penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan Majlis Keselamatan Negara.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat