NGO Gesa JAKIM Ambil Tindakan Terhadap Siti Kassim

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Pertubuhan Kebajikan Darul Tauhid Malaysia melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Siti Zabedah Kassim yang menyamakan sekolah tahfiz dengan arak.

Pengerusinya, Abang Sufri Mahmud Abang Usop berkata kenyataan tersebut dilihat sebagai jelek, berunsur jahat, dan tidak hormat terhadap institusi keagamaan.

“Semua penganut agama Islam yang merupakan majoriti penduduk di Malaysia tahu bahawa agama Islam mengharamkan arak dalam apa jua cara, termasuklah pekerjaan yang terlibat dalam penghasilan arak tersebut – dari ladang anggur atau barli, ke kilang memproses, ke pihak logistik, ke kedai yang menjual, sehinggalah kepada pembeli dan peminumnya.

“Pengharaman arak juga ada disebutkan dengan jelas dalam Al-Qur’an misalnya dalam Surah Al-Baqarah ayat 219, di mana Allah menyebutkan sungguhpun dalam arak itu ada manfaat bagi manusia tetapi dosa atau kejahatannya lebih besar. Dalam Surah Al-Maidah ayat 90 pula disebutkan bahawa arak adalah sesuatu yang kotor dan salah satu amalan syaitan, dan seterusnya Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya agar menjauhinya.

“Maka bermaksud sama ada peminumnya minum dalam kuantiti yang sedikit, atau banyak, sehingga memabukkan atau tidak, hukum arak tetap haram dalam syariat Islam dan ia tidak akan berubah hingga Kiamat,” katanya melalui satu kenyataan media kepada SuaraTV sebentar tadi.

Terdahulu Siti Zabedah menyelar cadangan Pas untuk mengantung penjualan arak ekoran peningkatan kes yang melibatkan pemandu mabuk.

Dia berkata peningkatan kes tersebut disebabkan sikap tidak bertanggungjawab mereka yang mengambil minuman berakohol itu.

Dia turut mendakwa pengunaan arak tidak wajar dilihat sebagai punca terhadap kes kemalangan yang semakin “menjadi-jadi” mutakhir ini.

Menurut Abang Sufri membandingkan antara sekolah tahfiz dengan arak adalah sangat tidak relevan dan di luar konteks.

“Maka analogi yang dilakukan oleh Siti Kasim dengan menyamakan isu pengharaman arak dengan pusat tahfiz adalah sangat tidak tepat, tidak relevan, luar daripada konteks, dan tidak sensitif terhadap perasaan majoriti umat Islam di Malaysia.

“Kenyataan beliau tersebut telah mendatangkan kegusaran di kalangan rakyat Malaysia yang memahami nilai dan kedudukan institusi tahfiz. Sungguhpun jika dia menyalahkan pihak pengurusan atas salah laku yang berlaku di pusat-pusat tahfiz, maka tetap juga tiada kaitan dengan pusat tahfiz itu sendiri atau pelajar tahfiz yang menghafal Al-Quran di situ.

“Dengan menggunakan analogi pengurusan sekolah tahfiz, Siti Kasim sebenarnya mengatakan bahawa “bukan salah arak itu yang hendak diharamkan, tetapi salah pembuat atau pengilang arak yang meletakkan alkohol yang terlalu banyak dalam minuman tersebut sehingga menyebabkan orang yang meminumnya menjadi mabuk,” tegasnya.

Beliau seterusnya meminta agar Siti Zabedah yang dikenali dengan panggilan Siti Kassim membuat satu kenyataan maaf sambil menggesa Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) agar segera mengambil tindakan.

“Dengan ini kami menggesa supaya Siti Kasim membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam atas keterlanjuran dalam kenyataan beliau tersebut yang menyamakan isu arak dengan pusat tahfiz.

“Kami juga ingin menasihati Siti Kasim agar mempelajari ajaran Islam dengan baik daripada sumber yang “fundamental” agar beliau kembali kepada ajaran Islam yang tulen dan menjadi seorang Muslim yang lebih baik dan bertakwa.

“Kami juga menggesa pihak berwajib khasnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Siti Kasim agar menjadi pengajaran dan agar tiada lagi individu lain yang akan mengeluarkan kenyataan yang kontroversi sebegitu pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat