KUALA LUMPUR – Pas Negeri Melaka memaklumkan bahawa dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang dijangka berlangsung pada tahun ini, parti itu telah membuat ketetapan untuk bertanding di 16 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pesuruhjaya Pas Melaka Zulkifli Ismail berkata, parti Islam itu akan menempatkan calon-calon yang berwibawa, berintegriti serta mempunyai latar belakang kepimpinan yang diyakini.
“Ketetapan ini adalah selaras dengan kenyataan yang telah disampaikan oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Datuk Seri Sanusi Md Nor, dalam program Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Melaka yang lalu.
“Adapun 16 DUN yang terlibat ialah Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Kuala Linggi, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Ayer Molek, Pengkalan Batu, Telok Mas, Duyong, Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam.
“Pas Melaka dengan penuh tawakal dan keyakinan menyeru seluruh rakyat Negeri Melaka agar memberikan sokongan kepada calon-calon Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN ini.
“Sokongan tersebut amat penting dalam usaha membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih adil, berintegriti serta berpaksikan nilai-nilai Islam sebagai panduan pentadbiran.
“Sesungguhnya perjuangan ini bukan sekadar persaingan politik, bahkan merupakan satu amanah untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan kebajikan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.



