Adun PN Negeri Sembilan serah SD kepada BN tanda sokong bentuk kerajaan negeri baharu

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sudah menyerahkan akuan sumpah (SD) kepada Barisan Nasional (BN) sebagai tanda sokongan bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, dokumen tersebut diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias semalam.

ADUN Serting itu berkata, ia bertujuan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Menurut beliau, langkah itu dibuat susulan perkembangan semasa yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun didakwa hilang kepercayaan majoriti Adun.

“Kami di peringkat PN mengikut keadaan semasa. Apa yang berlaku sekarang ini, pada realitinya kerajaan sedia ada telah hilang sokongan majoriti.

“Jadi, untuk makluman kami sudah serahkan SD kepada pihak BN sebagai tanda sokongan untuk langkah seterusnya,” katanya menurut Utusan di Seremban.

Fairuz berkata, setakat ini PN masih menunggu perkembangan lanjut termasuk kemungkinan wakil BN menghadap Yang di-Pertuan Besar dalam masa terdekat.

Katanya, terdapat dua kemungkinan yang boleh berlaku iaitu pembentukan kerajaan negeri baharu atau pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kalau mendapat perkenan Tuanku Muhriz, maka dapatlah membentuk kerajaan negeri baharu. Namun, jika sebaliknya dan DUN dibubarkan, kami (PN) sudah bersedia menghadapi PRN,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz menyifatkan kenyataan Aminuddin mengenai kerajaan minoriti hanya sekadar untuk menyedapkan hati.

“Bagi saya, beliau faham tentang politik demokrasi yang berteraskan sokongan majoriti. Walaupun kelebihan hanya satu kerusi, itu sudah memadai untuk membentuk kerajaan.

“Jadi, istilah kerajaan minoriti itu bagi saya hanya bersifat sementara,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker mengumumkan kesemua lima Adun PN bersedia bekerjasama dengan BN yang telah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Menurutnya, kesediaan tersebut bertujuan menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri bagi membangunkan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat