Desak pecat: Jangan heret Umno Selangor dengan masalah di Negeri Sembilan – Pemuda Umno Hulu Selangor

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno Bahagian Hulu Selangor memandang sinis kenyataan seorang pemimpin PKR Selangor, Sathia Prakash, yang begitu ghairah mendesak wakil Umno dipecat daripada pentadbiran negeri.

Ketua Pemudanya Omar al-Khattab Kasim berkata, lebih menghairankan apabila mereka terpaksa mengheret isu politik di negeri lain untuk dijadikan modal menyerang Umno di Selangor.

“Tindakan ini jelas membuktikan mereka ketandusan idea serta gagal menjawab pelbagai kelemahan pentadbiran sendiri di negeri ini.

“Kita hairan, isu yang berlaku ini hanya melibatkan Negeri Sembilan. Tetapi, seolah-olah pemimpin PKR yang inginkan perpecahan Pakatan Harapan (PH) di negeri Selangor.

“Isu Negeri Sembilan berbeza dengan isu yang ada di Negeri Selangor. Hakikatnya, rakyat Selangor hari ini sedang berdepan isu yang jauh lebih mendesak seperti kos sara hidup, banjir berulang, pembangunan tidak seimbang, peluang pekerjaan, masalah perumahan dan pelbagai tekanan harian yang memerlukan perhatian segera.

“Lebih memalukan apabila mereka begitu lantang menyerang pihak lain, namun terus membisu apabila timbul polemik melibatkan Adun Seri Kembangan berhubung isu penternakan babi yang mencetuskan keresahan rakyat Selangor.

“Jika benar mahu bercakap soal prinsip dan tanggungjawab, PKR Selangor sepatutnya menegur dahulu barisan sendiri sebelum sibuk mendesak orang lain. Utamakan Titah Tuanku, iaitu antaranya menyelesaikan isu banjir yang agak terdesak di Selangor ini,” tegasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Justeru kata Omar, Pemuda Umno Hulu Selangor yakin rakyat Selangor semakin matang dan tahu menilai siapa benar-benar bekerja untuk rakyat, dan siapa sekadar bermain politik persepsi untuk menutup kelemahan sendiri.

“Jangan pinjam isu negeri lain untuk menutup masalah sendiri di Selangor,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat