JPPM komited perkemas kerangka kawal selia pertubuhan

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sentiasa komited dalam melaksanakan fungsi kawal selia secara telus, berintegriti dan berlandaskan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] serta perlembagaan setiap pertubuhan berdaftar di Malaysia, kata Ketua Pengarahnya, Dato’ Mohd Zulfikar Ahmad.

Mohd Zulfikar berkata JPPM mengambil maklum laporan media yang sedang tular ketika ini berkaitan dakwaan penyelewengan dana melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan nilai berjumlah jutaan ringgit yang turut dikaitkan dengan individu berpengaruh dalam media sosial.

“Laporan tersebut telah menimbulkan kebimbangan awam terhadap aspek ketelusan dan integriti pengurusan dana kutipan derma oleh pertubuhan berdaftar.

“JPPM memantau pengurusan dana pertubuhan melalui keperluan pematuhan seperti penyimpanan rekod kewangan yang lengkap, pembentangan penyata kewangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan serta pengemukaan dokumen kepada jabatan apabila diminta.

“Pemantauan ini merangkumi semua bentuk kutipan dana sama ada secara fizikal mahupun melalui platform dalam talian termasuk media sosial, ”katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dalam aspek penguatkuasaan, JPPM melaksanakan semakan serta tindakan berdasarkan aduan, ketidakpatuhan atau pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Tindakan yang boleh diambil termasuk amaran, notis pematuhan, pembatalan pendaftaran pertubuhan serta rujukan kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat elemen kesalahan di bawah undang-undang berkaitan.

“Sehingga 31 Mac 2026, JPPM telah menerima sebanyak 314 aduan berkaitan dakwaan salah guna dana melibatkan pertubuhan berdaftar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 21,013 pertubuhan telah dibatalkan pendaftarannya bagi tempoh 2019 hingga 2026 atas pelbagai kesalahan termasuk ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang, ”jelasnya lagi.

Beliau menegaskan sebarang aktiviti kutipan derma hendaklah dilaksanakan secara teratur, telus dan mematuhi peruntukan undang-undang serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan akauntabiliti dan integriti pengurusan dana awam sentiasa terpelihara.

“Seiring perkembangan semasa, beliau memaklumkan bahawa JPPM sedang meneliti keperluan penambahbaikan kerangka perundangan termasuk cadangan garis panduan khusus serta mekanisme audit bebas bagi pertubuhan yang mengutip dana awam pada skala tertentu.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada penambahbaikan berterusan terhadap Akta Pertubuhan 1966, ”ujarnya.

Tambahnya, JPPM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk SPRM dan PDRM dalam menangani sebarang isu berkaitan salah guna dana atau pelanggaran undang-undang oleh pertubuhan berdaftar.

“JPPM kekal komited untuk memastikan setiap pertubuhan berdaftar di Malaysia
beroperasi secara sah, teratur dan berintegriti demi menjaga keyakinan masyarakat serta memperkukuh tadbir urus pertubuhan di negara ini,”tambahnya lagi.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat