KDN muktamadkan pembelian empat helikopter APMM bernilai RM600 juta

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal menerima empat helikopter baharu selepas Kementerian Dalam Negeri memuktamad perolehan pesawat terbabit.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kertas kerja bagi perolehan aset itu, yang menelan kos kira-kira RM600 juta, juga sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk keputusan akhir.

“Langkah seterusnya kita akan melakukan lawatan ke premis syarikat pengeluar helikopter yang telah disenarai pendek sebelum membuat keputusan pembelian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga APMM di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Beliau berkata pihaknya sedang menilai sama ada menerima atau tidak sebuah kapal peronda yang ingin disumbang oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat untuk kegunaan APMM.

Saifuddin Nasution berkata pihaknya menerima tawaran itu ketika melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat pada September lepas.

Beliau berkata tawaran itu adalah sebagai tanda kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam perkongsian maklumat dan kepakaran.

“Malaysia dilihat oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat sebagai negara yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan isu keselamatan di lautan berikutan kita mempunyai sempadan laut yang luas iaitu sepanjang 590,000 kilometer persegi selain menangani jenayah di laut yang semakin kompleks,” katanya.

Susulan itu, Saifuddin Nasution berkata beberapa pegawai dan anggota APMM telah dihantar ke Amerika Syarikat untuk melihat keupayaan kapal peronda terbabit serta membuat laporan sebelum keputusan akhir dibuat. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat