Sarawak tolak vaksin AstraZeneca

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Vaksin Covid-19, AstraZeneca tidak akan digunakan dalam program imunisasi di Sarawak, kata menteri kerajaan tempatan dan perumahan Sarawak, Dr Sim Kui Hian.

Hal ini berikutan pengumuman kerajaan pusat bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan diwujudkan di Selangor dan Kuala Lumpur untuk memberikan vaksin berkenaan kepada mereka yang bersedia menerimanya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut memberikan tawaran yang sama kepada Sarawak kerana kebimbangan penularan wabak itu pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Mengulas tawaran berkenaan, Sim malam tadi menulis di Facebooknya: “Tidak ada vaksin AstraZeneca Covid-19 di Sarawak.

“Mereka yang ingin mendapat vaksin AstraZeneca Covid-19 harus pergi ke mana-mana pusat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Bukan di Sarawak,” katanya.

Pilihan raya negeri Sarawak dijadualkan pada 7 Ogos tahun ini.

Darurat yang dijadualkan di negara ini dijadual berakhir pada 1 Ogos melainkan jawatankuasa bebas yang dilantik mengesyorkan agar ia ditamatkan lebih awal.

Semalam, Khairy mengumumkan AstraZeneca akan dikeluarkan daripada daripada program vaksinasi sedia ada berikutan kontroversi terhadap vaksin berkenaan.

Sebaliknya, PPV khas akan ditubuhkan di Kuala Lumpur dan Selangor bagi individu yang masih bersedia menerima vaksin berkenaan secara sukarela.

Tawaran itu terbuka kepada individu berumur 18 tahun berdasarkan siapa cepat dia dapat dan tidak mengikut program biasa imunisasi sedia ada.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan memberi jaminan vaksin AstraZeneca tetap selamat dan manfaatnya melebihi kemungkinan kesan sampingan, walaupun terdapat risiko pembekuan darah yang sangat jarang tetapi berpotensi mengancam nyawa.

Pada sidang media semalam, Khairy berkata risiko mengalami pembekuan darah akibat vaksin AstraZeneca hanya 0.0004 peratus, berbanding kemungkinan 16.5 peratus mengalami pembekuan darah jika seseorang dijangkiti Covid-19.

Dia juga menyatakan kemungkinan terkena pembekuan darah setelah vaksinasi lebih rendah daripada kesan merokok atau mengambil pil pencegah kehamilan.

Bagaimanapun, Khairy mengakui kegelisahan orang ramai terhadap vaksin berkenaan dan risikonya tidak boleh diketepikan meskipun kebimbangan tersebut menurutnya “tidak berdasarkan sains”.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,575FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat