85,700 Calon Dijadual Duduki SPM Sesi Kedua Bermula 5 April

- Advertisement -

MELAKA – Seramai 85,700 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 direkodkan tidak dapat menduduki sesi pertama peperiksaan selepas terkesan dengan jangkitan Covid-19 dan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kesemua calon tersebut bagaimanapun telah dijadualkan menduduki sesi kedua yang akan bermula pada 5 April sehingga 19 Mei depan.

Katanya, mengikut pecahan seramai 84,949 calon tidak dapat menduduki peperiksaan disebabkan jangkitan Covid-19, manakala 751 pelajar telah terkesan dalam bencana banjir.

“Kita lihat bahawa seramai 85,700 daripada 407,097 calon SPM tidak dapat menduduki sesi pertama, jadi mereka telah dijadualkan untuk menduduki sesi kedua bagi kertas-kertas tertentu yang tidak dapat dihadiri sebelum ini.

“Ini kerana sama ada mereka dikuarantinkan, terkesan dengan banjir mahupun atas sebab-sebab yang telah disahkan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Teknik Melaka, Bukit Piatu di sini, hari ini.

Tambahnya, bagi negeri Melaka seramai 3,407 daripada 13,152 calon SPM 2021 akan turut terlibat dalam peperiksaan sesi kedua itu.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, dengan berakhirnya sesi pertama SPM 2021 pada hari ini, kesemua 23,855 pemeriksa dilantik juga telah memulakan tugas masing-masing.

“Setelah tamatnya kertas terakhir iaitu Lukisan Kejuruteraan pada hari ini, maka pemeriksa juga telah memulakan pemeriksaan kertas untuk memastikan keputusan dapat dikeluarkan pada masa yang ditetapkan.

“Keputusan peperiksaan bagi sesi pertama dan kedua akan keluar pada tarikh yang sama, seperti tahun lalu,” katanya. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat