VE kembali selepas 13 tahun

- Advertisement -

KUMPULAN Voices of Euphonious (VE) bukan nama baharu dalam industri muzik tanah air. Kumpulan vokal harmoni itu sudah ditubuhkan sejak 1997, namun selepas sedekad bersama, mereka akhirnya membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

Tahun lalu, selepas hampir 13 tahun menyepi, kumpulan yang popular dengan lagu Pop Yeh Yeh, Ayu, Party Like This dan banyak lagi membuat keputusan untuk kembali mewarnai dunia seni .

Walau bagaimanapun, kepulangan semula VE ke pentas seni tidak lengkap apabila tiga anggota asalnya Damien, Shah dan Lah tidak lagi bersama kumpulan itu.

Sebaliknya VE2021 hanya diterajui Zafri Nazaruddin atau Zaf dan Charma Adizalilullah atau Cham bersama dua anggota baharu, Adeep Nahar dan Luqman Hakim.

Ketua kumpulan VE, Zaf berkata, sudah lama mereka merancang untuk kembali bergiat aktif, namun ekoran komitmen setiap anggotanya ditambah dengan penularan wabak Covid-19, hasrat itu tergendala.

“Kami sudah lama rindu untuk menyanyi lagi. Niat untuk masuk semula ke dalam industri memang sudah lama dirancang, tetapi disebabkan kesibukan anggotai VE dengan pelbagai komitmen, hasrat itu beberapa kali tertangguh.

“Kami yakin kehadiran Adeep dan Luqman dapat menyatukan suara kami walaupun jauh berbeza daripada VE yang dulu. Namun kami berharap, peminat setia VE dapat menerima barisan baharu kami,” katanya.

Sempena dengan kemunculan semula mereka, VE tampil dengan single terbaharu berjudul Tunggu. Lagu ‘mid-tempo’ yang mempunyai elemen ‘oldschool’ tetapi diadun dengan cita rasa semasa itu masih mengekalkan vokal berharmoni yang menjadi ‘trademark’ kumpulan yang pernah memenangi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-13.

Menurut Zaf lagi, mereka memilih Tunggu menjadi judul single terbaharu adalah sebagai simbolik penantian kumpulan itu yang mengambil tempoh lebih sedekad untuk membuat kemunculan semula.

“Lagu ini mengisahkan antara anak dan ibu. Di mana kami ingin mengingatkan peminat supaya menghargai setiap detik bersama orang yang kita sayangi.

“Lagu ini mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan. Bermula daripada gubahan lagu, penulisan lirik, susunan vokal, proses rakaman dan penggambaran klip video.

“Alhamdulillah, proses menyiapkan lagu sangat laju dan lancar. Tetapi kami mengambil masa sedikit lama untuk latihan memandangkan ini lagu pertama VE dengan barisan anggota yang baharu.

“Jadi kami perlu mengenali keupayaan dan keserasian masing-masing. Bagaimanapun muzik video lagu ini berjaya disiapkan dalam tempoh satu hari saja dengan pertolongan Team Osh,” katanya.

Tunggu dihasilkan oleh Zaf, Mulah, Dj Uno dan Aj PopShuvit sementara liriknya dihasilkan Mulah, Zaf dan Cham.

Kali terakhir kumpulan itu menerbitkan lagu ialah pada 2006 menerusi Ikhlas Tapi Jauh. Berharap lagu baharu itu diterima ramai dan maksudnya dapat dihayati pendengar, VE memanjatkan kesyukuran kerana berjaya merealisasikan impian membuat kemunculan semula walaupun terpaksa menempuhi pelbagai halangan.

Biarpun lagu itu baharu saja dilancarkan, namun VE tidak mahu membuang masa apabila sudah memulakan rakaman untuk single kedua mereka. Malah kumpulan itu juga mempunyai beberapa lagu lagi serta mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain.

Lagu Tunggu boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer, KKBOX dan YouTube Music manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia sejak 26 Mac lalu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat