KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mempersoal bilakah pindaan terhadap Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 ini akan dibawa untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.
Tegasnya, pindaan terhadap Akta ini dapat dilakukan dengan kadar segera, kerana beliau merasakan memandangkan Akta ini sudah terlalu lama dan banyak klausa yang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.
Menurutnya, jika Akta ini dapat dipinda mengikut keperluan semasa, pelbagai isu berbangkit di kalangan Masyarakat FELDA dapat kita selesaikan.
Katanya, pihak Kerajaan perlu mempunyai satu garis masa yang telah ditetapkan untuk Akta GSA 1960 dibahaskan.
Jalaluddin berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
“Sebab itu saya merasakan, sudah sampai masanya Kerajaan melihat semula, mengkaji dan mengeluarkan satu blueprint baru untuk FELDA secara keseluruhannya.
“Dan sudah semestinya apabila bercakap tentang FELDA, kita tidak akan dapat lari dari menyentuh soal Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.
“Saya pernah bangkitkan berkenaan isu Akta GSA dalam perbahasan saya sewaktu Belanjawan 2023 yang lalu. Dan jawapan yang saya terima dari YB Menteri menyatakan pihak Kerajaan juga bersetuju bahawa sudah sampai masanya untuk akta ini dipinda,” katanya.
Soal Jalaluddin lagi, adakah senarai Ahli Jawatankuasa ini telah dikemaskini pasca PRU dan PRN 2023 kerana beliau sendiri sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal FELDA di peringkat Negeri, tidak dilibatkan dalam mana-mana jawatankuasa ini.
“Sejak tahun 1958-1990 terdapat 112,635 orang peneroka FELDA yang ditempatkan di 317 buah rancangan di seluruh negara dan mengusahakan hampir 451 ribu hektar keluasan ladang peneroka.
” Jika dahulu, Kerajaan hanya memikirkan tentang 112,635 peneroka ini sahaja, namun kini sama ada kita suka atau tidak, Kerajaan perlu memikirkan tentang ratusan ribu atau mungkin jutaan anak-anak FELDA generasi kedua, ketiga dan sebilangan kecil generasi keempat yang ada di Felda pada ketika ini.
“Bercakap soal generasi baru FELDA ini, kita bukan hanya berkisar tentang soal penempatan sahaja. Kita perlu memikirkan soal kesinambungan dan hala tuju FELDA untuk satu jangka masa yang lebih panjang.
“Sebab itu saya merasakan, sudah sampai masanya Kerajaan melihat semula, mengkaji dan mengeluarkan satu blueprint baru untuk FELDA secara keseluruhannya,” ujarnya lagi.
Beliau mencadangkan kepada pihak Kerajaan, supaya satu sesi libat urus khas bersama Ahli-Ahli Parlimen dan juga ADUN-ADUN bagi 54 kawasan Parlimen yang mempunyai Rancangan FELDA ini.-SUARATV