PN berisiko kena tindakan oleh ROS jika batal jawatan pengerusi – Takiyuddin

KUALA LUMPUR- Perikatan Nasional (PN) berisiko dikenakan tindakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sekiranya gabungan itu memansuhkan jawatan pengerusi.

Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jawatan pengerusi adalah peranan yang termaktub dalam perlembagaan gabungan itu.

“Jika kita membuat sebarang perubahan, pihak berkuasa seperti ROS boleh mengambil tindakan kerana ia jadi tidak berperlembagaan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen pada Khamis.

Semalam, dilaporkan bekas Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Pas dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan itu dalam satu mesyuarat yang diadakan di kediamannya lebih seminggu lalu.

Muhyiddin mendakwa dalam mesyuarat itu kedua-dua parti bersetuju dengan penstrukturan semula PN yang akan menyaksikan Bersatu mengetuai Majlis Presiden manakala jawatankuasa eksekutif dipimpin oleh Pas.

Antara pemimpin Pas yang menghadiri mesyuarat itu Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir Takiyuddin juga Setiausaha Agung Pas.

Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang menjelaskan pada pertemuan 16 Januari lalu, kedudukan pengerusi PN tidak dibincangkan atau disentuh langsung, apatah lagi mengenai keputusannya.

“Kalau itu dianggap satu benda yang dipercayai diputuskan, Presiden Pas dengan jelas mengatakan Pas tidak bersetuju jawatan Pengerusi PN dimansuhkan.

“Ia mesti kekal sebagaimana ada dalam perlembagaan yang jelas menyatakan PN ditadbir oleh satu MT. Segala urusan PN hendaklah ditadbirkan oleh MT yang berfungsi sebagai badan tertinggi,” katanya.

Berkenaan mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang sepatutnya berlangsung malam ini tetapi dibatalkan semalam, Takiyuddin berkata, keputusan itu bagi mengelakkan wujud pencanggahan, ‘keributan’ membabitkan perkara kecil.

“Muhyiddin berkata mesyuarat luar biasa yang dipanggil oleh Timbalan Setiausaha Agung adalah tidak wajar dan sepatutnya dibatalkan.

“Jadi atas dasar itu, selaku Timbalan Setiausaha Agung PN dalam keadaan untuk ‘mengawal ribut dalam cawan ini’ mengeluarkan satu notis membatalkan mesyuarat malam ini.

“Sebabnya, bagaimana mesyuarat dapat diadakan apabila presiden-presiden parti anggota dipanggil tidak dapat hadir kerana berada di tempat yang berbeza.

“Tak mungkin satu orang boleh hadir pada tarikh yang sama di tempat yang sama di dua lokasi yang berbeza.

“Jadi itulah rasional kita tangguhkan atau membatalkan semula mesyuarat itu,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat