Sebelah mata Daim sudah dikeluarkan, jangkitan kuman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda diberitahu kini mengalami sakit buah pinggang dan pernah diserang angin ahmar, malah sebelah matanya sudah dikeluarkan kerana dijangkiti kuman.

Peguam bela Daim yang diketuai M Puravalen turut membantah syarat tambahan supaya anak guamnya melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

“Yang Arif boleh lihat sendiri keadaannya yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.

“Beliau adalah pesakit buah pinggang dan pernah diserang angin ahmar, malah sebelah matanya sudah dikeluarkan kerana dijangkiti kuman,” katanya.

Daim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset dan satu akaun bank miliknya.

Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin kelihatan tenang dan hanya menjawab, “faham” dan “minta bicara” sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Beliau yang hadir dengan memakai sut hitam dan berkerusi roda, dibenarkan berada di luar kandang tertuduh sepanjang proses pertuduhan.
Daim yang memegang jawatan dari tahun 1984 hingga 1991 didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan harta.

Kesemua harta terbabit, antaranya enam kereta termasuk Mercedes Benz, Jaguar, Austin Morris dan Rolls Royce ,38 syarikat antaranya Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd dan Avillion Berhad, 25 hartanah dan tanah di bawah syarikat di Kuala Lumpur, Ampang, Raub, Pahang dan Kuala Muda Kedah serta akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Sementara itu, Azura membenarkan Daim diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM280,000 dan tidak mengenakan syarat jaminan tambahan selepas menimbangkan keadaan kesihatan beliau

Terdahulu, Wan Shaharuddin mencadangkan Daim diikat jamin di antara RM250,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin dan memohon beliau dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya sebulan sekali, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau juga memohon supaya mahkamah mengeluarkan nasihat supaya semua pihak tidak memberikan sebarang komen mengenai kes berkenaan selepas ini.

“Kami faham rakyat Malaysia diberi kebebasan untuk bersuara namun ada had yang perlu dipatuhi… kenyataan yang dibuat selepas kes dipertuduhkan akan memprejudiskan kes kelak.

“Ia bukan suatu perintah larangan atau ‘gag order’ tetapi lebih kepada nasihat daripada mahkamah supaya tertuduh tidak membuat ulasan sehingga kes ini selesai,” katanya petik BH.

Bagaimanapun Puravalen berkata, mahkamah tidak perlu mengenakan syarat tambahan berdasarkan keadaan kesihatan anak guamnya yang mustahil untuk menggunakan pasport bagi membuat perjalanan jauh.

Bagi permohonan pendakwaan supaya semua pihak tidak mengeluarkan komen mengenai kes, Azura berkata, semua pihak cukup matang dan berharap mereka tidak memberikan komen bagi mengelakkan subjudis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat