Anuar pernah dilamar peminat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pada usia yang bakal menginjak 52 tahun pada 15 Februari depan, penyanyi tersohor, Anuar Zain mengakui masih memikirkan soal jodoh.

Biarpun terus bersendirian, itu tidak bermakna Anuar menafikan fitrah manusia untuk mencintai dan dicintai.

Andai sampai seru dan ditakdirkan Allah untuk dirinya jatuh cinta dan mendirikan rumah tangga, Anuar memberitahu, dia terima ketentuan itu dengan hati terbuka.

“Percaya atau tidak, saya masih lagi memikirkan soal jodoh. Saya percaya institusi perkahwinan kerana itu adalah sunnah dan seelok-eloknya buat kita.

“Jodoh itu rahsia Allah, kita tidak akan tahu bila. Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu berdoa.

Biarpun terus bersendirian, Anuar percayakan institusi perkahwinan. Foto NSTP Rohanis Shukri
Biarpun terus bersendirian, Anuar percayakan institusi perkahwinan. Foto NSTP Rohanis Shukri

“Jika ada rezeki yang diberi Allah, saya kahwin,” katanya kepada HIP ketika ditemubual untuk program kapsul hiburan BHTV,  Apa Kes?, baru-baru ini.

Sekalipun pernah melihat ada pasangan tidak bahagia dalam melayari bahtera perkahwinan lalu berakhir dengan perceraian, namun situasi itu tidak pernah menakutkan penyanyi kacak ini untuk bergelar suami.

“Walaupun banyak kes keruntuhan rumah tangga kita boleh baca dalam media sosial hari ini, namun pada masa sama, ramai pasangan di sekeliling saya mampu mempertahankan perkahwinan hingga akhir hayat.

“Saya lebih suka melihat dari aspek positif seperti bagaimana pasangan menjaga kerukunan rumah tangga dan kekal bahagia.

“Momen itu pada saya sangat manis,” luah penyanyi yang popular dengan lagu Andainya Takdir dan Keabadian Cinta ini.

Terlanjur bercerita soal jodoh, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini sempat berkongsi kisah lucu dilamar peminat.

“Memang ada peminat yang melamar saya. Tetapi saya anggap itu gurauan dan tidak ambil serius.

“Malah, kedua orang tua saya pernah berhasrat menjodohkan saya dengan anak-anak kawan mereka.

“Ketika perancangan itu dibuat, saya memang sibuk dengan kerja. Ketika itu, hendak pergi bercuti pun tidak sempat, apatah lagi mahu fikir soal berumah tangga.

“Dalam nada bergurau, saya katakan kepada abah, kalau betul dia berkenan dengan gadis yang ingin dijadikan calon menantu itu, biar dia sahajalah yang berkahwin,” imbau Anuar sambil tertawa.

Sehingga hari ini, belum terdengar Anuar menjalin hubungan cinta, selain sekadar gosip yang kemudiannya hilang dibawa angin lalu.

Adakah sukar sebenarnya untuk mendekati dan menawan hati Anuar atau nama penuh, Shahrul Anuar Zain ini?

Bagi Anuar, rupa dan ciri fizikal bukanlah keutamaan dalam mencari calon isteri.

“Bagi saya karakter dan personaliti adalah paling penting. Kena sentiasa positif. Saya suka berborak pasal isu semasa dan hal berkaitan sejarah.

“Saya mahu berjumpa seseorang yang boleh bersembang apa sahaja… Itu sangat penting.

“Rupa pada saya jatuh tempat kedua atau ketiga. Personaliti kena selari dengan saya kerana tak dinafikan, saya ini sangat rumit dan sensitif orangnya,” katanya.

Namun, percaya dengan qada dan qadar, Anuar berkata, jika ditakdirkan dia terus hidup solo buat selama-lamanya, Anuar reda dengan ketentuan itu.

“Saya terima apa sahaja takdir Allah dengan hati terbuka. Kalau ada jodoh, saya akan terima. Tapi jika tiada jodoh di dunia, mungkin jodoh saya di alam sana,” katanya.

Pada sesi temu bual itu, buat kali pertama, Anuar membuka mulut mengenai pembabitannya dalam jemaah tabligh yang tular, tahun lalu.

“Sejujurnya, saya tidak berapa selesa hendak berbicara lanjut mengenai perkara itu. Ia adalah urusan saya dengan Allah.

“Apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama mereka dan menjalani kehidupan yang cukup berbeza. Saya dapat memahami makna persaudaraan sesama Islam dalam erti kata sebenar,” katanya.

Namun, Anuar berkata, dirinya masih sama.

“Saya masih lagi orang yang sama. Saya berharap dapat meningkatkan amalan. Hendak cakap lebih-lebih pun, saya bukanlah berhijrah hingga sampai tahap mahu meninggalkan dunia seni.

“Saya hanya mahu menjadi seorang manusia yang lebih baik… Doakan saya,” pintanya.

Anuar ditemui pada sidang media majlis Makan Malam Amal Anuar Zain – Karena Aku Cinta, di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) pada 5 Mac depan, acara itu bertujuan menghargai dan menyalurkan bantuan kepada keluarga petugas barisan hadapan yang terkorban ketika menunaikan tanggungjawab.

Penganjur juga mahu menyantuni penggiat seni tempatan yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Majlis Makan Malam Amal Anuar Zain – Karena Aku Cinta dianjurkan Bond Holdings Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Sdn Bhd.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat