AJK Majlis Fatwa Perak pertahan peranan sebagai Penasihat Syariah Atomy, syarikat terkait kultus Kristian Korea Selatan

KUALA LUMPUR, — Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Dr Lukman tampil mengeluarkan satu kenyataan bertulis bagi mempertahankan kedudukannya sebagai Penasihat Syariah Atomy Malaysia Sdn Bhd, susulan kontroversi berhubung pembabitan beliau dengan syarikat pemasaran berbilang tingkat itu yang sebelum ini dikaitkan dengan rangkaian kultus Kristian dari Korea Selatan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas pendakwah bebas, Firdaus Wong, mengemukakan gesaan dan cabaran terbuka agar penjelasan diberikan berhubung peranan Dr Lukman dalam syarikat Atomy, termasuk keterlibatan beliau sebagai penasihat syariah serta keterangan yang dikatakan diberikan bagi mempertahankan syarikat berkenaan dalam prosiding mahkamah sebelum ini.

Dalam kenyataan berkenaan, Dr Lukman menjelaskan bahawa beliau hanya dilantik sebagai Penasihat Syariah Atomy Malaysia Sdn Bhd pada 1 Mac 2025 bagi tempoh satu tahun, dan peranan tersebut tertumpu kepada aspek pematuhan struktur serta proses operasi syarikat selaras dengan garis panduan, ketetapan dan keputusan pihak berkuasa berkaitan halal dan syariah.

Menurut beliau, segala keterangan yang diberikan di mahkamah dibuat semata-mata dalam kapasiti sebagai Penasihat Syariah Atomy Malaysia Sdn Bhd dan tidak melibatkan kapasiti rasmi beliau sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia atau sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Dr Lukman turut menegaskan bahawa keterangan tersebut diberikan berdasarkan lingkungan pengetahuan dan kepakaran profesionalnya, serta bersandarkan dokumentasi dan proses kerja Sistem Pengurusan Kualiti ISO dan Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah yang dikemukakan oleh pihak Atomy Malaysia.

Dalam kenyataan sama, beliau merujuk kenyataan rasmi Panel Penasihat Syariah Atomy Malaysia bertarikh 24 Jun 2022 yang menyatakan bahawa status operasi dan model perniagaan Atomy Malaysia adalah selaras dengan prinsip akidah dan syariah Islam serta mematuhi keperluan perundangan dan tadbir urus yang berkuat kuasa di Malaysia.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dikeluarkan ketika kontroversi terhadap Atomy kembali memuncak susulan dakwaan berterusan bahawa syarikat berkenaan mempunyai kaitan ideologi dan rangkaian global dengan kultus Kristian dari Korea Selatan, yang sering dikaitkan dengan agenda penyebaran agama melalui aktiviti perniagaan dan kebajikan.

Isu itu turut dikaitkan dengan Pandangan Hukum Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertarikh 26 Ogos 2022 yang memutuskan bahawa umat Islam dilarang melibatkan diri dalam aktiviti urus niaga dan mempromosikan Atomy atau mana-mana perniagaan seumpamanya yang menyumbang kepada gerakan anti-Islam.

Firdaus Wong sebelum ini mendedahkan bahawa cabarannya terhadap Dr Lukman berpunca daripada keterangan yang menurutnya didengar sendiri semasa prosiding mahkamah, termasuk dakwaan bahawa Dr Lukman tidak bersetuju dengan pandangan hukum MKI tersebut.

Sehubungan itu, Firdaus Wong mencabar Dr Lukman supaya tampil membuat pengakuan atau penafian secara terbuka terhadap apa yang dinisbahkan kepadanya, termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya merasakan dirinya difitnah.

“Saya bersedia disaman sekiranya apa yang saya tulis mengenai keterangan di mahkamah itu tidak tepat,” katanya.

Dr Lukman dalam kenyataannya bagaimanapun memaklumkan bahawa memandangkan kes berkenaan masih berada dalam proses rayuan, sebarang komen lanjut berkaitan perkara tersebut tertakluk kepada prinsip sub judis dan berpotensi memberi kesan kepada prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

Beliau turut menyatakan bahawa segala isu yang dibangkitkan di media sosial diserahkan sepenuhnya kepada pasukan peguam Atomy Malaysia Sdn Bhd untuk ditangani mengikut saluran perundangan yang sewajarnya.

Setakat ini, pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Universiti Sains Islam Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi lanjut berhubung kontroversi tersebut, yang terus mencetuskan perbahasan awam mengenai had, etika dan akauntabiliti ahli institusi fatwa serta ahli akademik Islam dalam penasihatan syariah syarikat komersial yang dikaitkan dengan latar ideologi agama lain. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat