Menteri Lawat Dua Premis Import Daging

- Advertisement -

CYBERJAYA –  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini melakukan lawatan mengejut ke atas dua premis milik syarikat pengimport daging susulan isu keyakinan status halal yang hangat diperkatakan sekarang.

Dr Zulkifli mengesahkan kedua-dua syarikat yang dilawati hari ini iaitu Syarikat Al Hilal Food Processing Sdn. Bhd dan Ramly Food Processing Sdn. Bhd. mematuhi pensijilan halal yang ditetapkan.

“Kedua-duanya adalah pengimport daging dan produk daging sejuk beku dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Dua syarikat di atas adalah antara syarikat yang melengkapi proses rantaian pensijilan halal sebagai pengimport produk daging halal dan pengeluar produk daging sejuk beku halal.

“Kedua syarikat ini telah mematuhi sepenuhnya prosedur pensijilan halal dan undang-undang yang dikuatkuasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan Jabatan Kemajuan islam Malaysia (JAKIM) hanya bertanggungjawab untuk mempersijilkan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara sahaja.

“Manakala produk daging yang diimport masuk ke Malaysia perlu mendapat pengesahan halal daripada Badan Islam di negara pengeluar.

“Bagi tujuan mendapatkan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk membawa produk tersebut masuk ke Malaysia, JAKIM bertanggungjawab untuk membuat pemeriksaan verifikasi untuk mengesahkan bahawa loji sembelihan di negara pengeluar telah dipersijilkan halal oleh Badan Islam dan mematuhi standard-standard yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dari aspek hukum syarak,” ujarnya.

Ujarnya lagi, dalam urusan kawal selia kemasukan produk di pintu masuk negara, JAKIM tidak terlibat kerana di sana telah ada agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk membuat pemeriksaan.

“Dapatkan berita daripada sumber yang sahih. Saya pasti, kita semua amat bersetuju bahawa isu ini tidak wajar dipolitikkan.

“Ini urusan ibadah umat Islam. Oleh itu, saya akan berusaha untuk memastikan pihak berautoriti menjalankan siasatan yang telus dan amanah,” katanya lagi.

Dr Zulkifli juga menasihatkan pengguna agar terus memilih produk-produk yang telah mendapat pensijilan halal Malaysia kerana pensijilan halal Malaysia telah melalui proses yang ketat berdasarkan standard ISO IEC 17065 sebagai Badan Pensijilan Halal.

“Saya akan memastikan segala cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak JAKIM, akan diteliti sebaiknya demi keselesaan umat Islam.

“Saya juga yakin dengan doa semua, kemelut 40 tahun ini akan selesai dengan izin-Nya, insya-Allah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat