COVID-19: Aktiviti Balik Kampung Pada Cuti Krismas Punca Peningkatan Kes Di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Aktiviti balik kampung ketika cuti panjang sempena Krismas yang bersambung dengan cuti hujung minggu menjadi punca peningkatan kes COVID-19 di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata kepulangan anak negeri itu yang tinggal di kawasan zon merah, terutama di Selangor, dipercayai menjadi penyumbang terbanyak.

Katanya, ia juga menjadi antara punca kerajaan negeri memohon supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Pondok Darul Naim yang menjadi lokasi Kluster Halban.

Beliau berkata daripada 31 kes baharu dilaporkan semalam, 11 daripadanya membabitkan penularan dari zon merah iaitu Selangor yang dipercayai membabitkan mereka yang pulang ke kampung sempena cuti perayaan Krismas.

“Sekarang musim cuti dan kita lihat pergerakan dari zon merah Selangor dan sebagainya ke Kelantan tinggi dan hari ini (semalam) punca 11 kes dari zon merah.

“Oleh demikian saya nasihati apabila balik hendak jumpa ibu bapa… duduklah di rumah, tak usah bergerak bebas yang boleh merebakkan COVID-19 ke masyarakat seterusnya,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata keputusan untuk memohon kerajaan Persekutuan mengenakan PKPD di Pondok Darul Naim dicapai dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan petang semalam.

Sementara itu, katanya bagi Kluster Seragam Chepa membabitkan sebuah kilang, pihak syarikat bersetuju menghentikan sementara operasi dan kesemua pekerja dipakaikan gelang serta menjalani kuarantin.

Pada Sabtu, Kelantan merekodkan 85 kes COVID-19, tertinggi sejak penularan wabak berkenaan dengan dua kluster baharu iaitu Kluster Halban dan Kluster Seragam Chepa.

Dr Izani juga menjelaskan siasatan yang dibuat Jabatan Kesihatan Negeri mendapati punca penyebaran adalah daripada perkumpulan membabitkan kenduri, pertemuan dan berada di kawasan sesak – Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,587FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat