Zahid tutup siri kempen dengan seruan undi BN di Sabah

PUTATAN — Menjelang detik akhir kempen PRN Sabah, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN kini tampil lebih kukuh dengan tawaran hala tuju baharu untuk rakyat negeri itu.

Berucap di Majlis Sentuhan Kasih Desa Tanjung Keramat yang berlangsung di Dataran Pomoi, beliau meminta rakyat Sabah memberi kepercayaan dan mengundi BN, sambil menegaskan bahawa barisan 45 calon yang diketengahkan 80 peratus daripadanya wajah baharu mampu membawa perubahan yang diperlukan serta menyegarkan semula politik negeri.

“Kita datang ke Sabah bukan dengan kata-kata kosong, bukan dengan cerita manis ketika hampir pilihan raya sahaja.

“Kita datang dengan komitmen yang telah dibuktikan, dengan rekod kerja yang panjang, dan dengan iltizam bahawa Sabah mesti menerima pembangunan yang setara, peluang ekonomi yang lebih luas, serta pembelaan yang telus dan berterusan.

“Kita tidak mengetepikan pemimpin lama, tetapi wajah-wajah baharu inilah yang akan menggerakkan perubahan yang rakyat Sabah perlukan,” katanya.

Zahid turut menyentuh secara panjang lebar mengenai tawaran-tawaran utama BN yang digariskan dalam manifesto mereka, yang menurutnya dirangka untuk menyelesaikan isu-isu besar yang telah lama membelenggu Sabah.

“Tawaran BN bermula dengan 15,000 unit rumah mampu milik setiap tahun. Kedua, dana untuk memulihkan rumah mangsa bencana. Ketiga, memastikan Lebuhraya Pan Borneo disiapkan mengikut jadual, namun dalam tempoh kurang daripada lima tahun. Setuju?

“Melihat kepada masalah air di Sabah yang begitu kerap berlaku, kita akan menubuhkan Suruhanjaya Air Negeri Sabah. Pendidikan percuma untuk pelajar-pelajar B40 seluruh negeri. Had maksimum dua penggal untuk jawatan Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Zahid turut meminta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan agar memantau projek-projek besar Sabah, termasuk Lebuhraya Pan Borneo, jalan luar bandar, bekalan air luar bandar dan bekalan elektrik luar bandar supaya semua pelaksanaan berjalan segera dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Ketika menutup ucapannya, Zahid menyeru pengundi khususnya di DUN Tanjung Keramat agar keluar awal menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian esok.

Beliau turut mengingatkan agar semua pengundi memastikan sokongan diberikan kepada calon BN, Jeffrey Noor, sambil menggesa mereka menghubungi keluarga dan rakan terdekat bagi mengukuhkan sokongan terhadap parti.

“Malam ini jangan tidur lewat. Bangun awal esok. Saya bimbang hujan akan turun selepas tengah hari. Ibu-ibu, jika mahu memasak, masak awal untuk keluarga kerana esok anak-anak tidak bersekolah. Sediakan makanan siap-siap.

“Dari segi pengangkutan, insya-Allah Datuk Jeffrey Noor dan jentera BN menyediakan kenderaan untuk membawa pengundi ke pusat mengundi, dan saya sudah arahkan supaya kenderaan itu menunggu dan menghantar mereka pulang,” katanya.

Menurutnya, anak muda kini menjadi penentu utama kemenangan BN kerana mereka mewakili lebih separuh pengundi Sabah.

“Anak-anak muda di Tanjung Keramat, mana anak-anak muda? Kita beri tepukan. Merekalah tenaga yang akan bangkit menyokong BN.

“Kita yakin sokongan anak muda kini beralih kepada BN. Mereka penggerak utama gelombang biru. Dengan lebih 52 peratus pengundi Sabah terdiri daripada golongan muda, merekalah penentu kemenangan BN dan penentu kepada pembentukan kerajaan baharu Sabah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat