SEPANGGAR — Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking menyeru bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar bersama-sama menyokong perjuangan parti itu selepas kenyataan beliau yang menyifatkan Sabah sebagai negeri yang sedang “sakit”.
Menurut Darell, pandangan Pairin itu selari dengan fokus utama Warisan yang membawa slogan ‘Selamatkan Sabah’ dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, sekali gus menunjukkan kedua-duanya berkongsi misi yang sama untuk menyelamatkan negeri itu.
“Jika beliau benar-benar percaya keadaan negeri tidak sihat, saya yakin beliau juga mahu melihat Sabah dipulihkan. Itu kata beliau sendiri, bukan saya. Kami sudah lama melihat situasi ini,” katanya ketika ditemui selepas program kempen Warisan di DUN Karambunai malam tadi.
Sementara itu, Darell turut menegaskan keyakinannya bahawa Warisan masih berpotensi membentuk kerajaan negeri secara tunggal, meskipun pelbagai pihak menjangka keputusan PRN bakal menyaksikan DUN tergantung.
Menurut beliau, pengalaman rakyat berdepan kerajaan campuran sebelum ini menjadi pertimbangan penting yang membuka ruang kepada Warisan untuk menawarkan pentadbiran yang lebih stabil.
Namun dalam pada masa yang sama beliau tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan parti-parti tempatan jika keadaan memerlukan.
“Kita masih ada peluang untuk mentadbir sebagai kerajaan tunggal,” katanya,
Untuk rekod, Pairin sebelum ini membuat kenyataan dalam satu sesi meja bulat yang disiarkan oleh NorthBorneoTV dan Sabah Way Forward, beliau mengulas soal pengaruh kerajaan Persekutuan serta arah tuju PBS di bawah kepimpinan sekarang.
Dalam perbincangan tersebut, pengasas PBS itu menyifatkan Sabah sedang “sakit”, merujuk kepada hubungan persekutuan–negeri yang tegang serta pembangunan yang didakwa tidak berkembang seperti sepatutnya.



