Ong Kian Ming persoal keupayaan Fahmi tangani isu DNB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bangi dari DAP Ong Kian Ming menuntut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk menjelaskan tindakan yang oleh kerajaan dalam usaha menangani kebimbangannya mengenai Digital Nasional Bhd (DNB) selepas menjadi menteri pada Disember 2022.

Kian Ming dalam siri hantarannya di X berkata, Fahmi sebagai Ahli Parlimen pembangkang pada 2022 pernah menggesa siasatan rasuah terhadap perkongsian rangkaian 5G antara DNB dan Ericsson, berikutan laporan bahawa syarikat telekomunikasi Sweden itu didakwa melanggar perjanjian dan mempunyai isu pematuhan.

“Adakah Fahmi membuat susulan (follow up) mengenai perkara ini selepas beliau menjadi Menteri Komunikasi dan Digital pada Disember 2022? Jika ya, adakah sebarang ketidakwajaran ditemui dan jika ya, apakah tindakan yang telah diambil?

“Apakah langkah yang Fahmi ambil untuk membersihkan perkara ‘menyeramkan dan mencemaskan’ yang dia temui di DNB ketika mula-mula menjadi menteri?

“Demi ketelusan, adakah beliau dapat mendedahkan langkah-langkah pemulihan yang telah diambil?” soal Kian Ming.

Beliau berkata demikian merujuk kepada penemuan ‘menyeramkan dan mencemaskan’ oleh Fahmi bahawa tiada siapa yang mempunyai pemahaman jelas mengenai aktiviti DNB semasa beliau menjadi Menteri Komunikasi dan Digital.

Fahmi malah memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sama sekali tidak mengetahui operasi DNB semasa beliau mula-mula mengambil alih portfolio itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga berkata, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pun tidak mengetahuinya walaupun DNB adalah syarikat Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Pun begitu menurut Kian Ming lagi, kenyataan Fahmi gagal memberikan jawapan substantif dan hanya menimbulkan lebih banyak persoalan tentang ekosistem 5G Malaysia di tengah-tengah penelitian terhadap pemberian pelancaran rangkaian 5G kedua kepada U Mobile Sdn Bhd.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa itu meminta Fahmi menjelaskan bagaimana pelaksanaan rangkaian 5G pertama DNB dan Ericsson memenangi beberapa anugerah global, seperti Anugerah Ookla dan Anugerah Futurenet Asia 2024.

Selain itu, Kiang Ming juga meminta Fahmi menjelaskan bagaimana DNB berjaya mencapai liputan 80 peratus kawasan berpenduduk sebelum tarikh akhir yang diberikan walaupun tidak mempunyai CEO dari Mac 2023 hingga Oktober tahun ini.

“Bolehkah menteri juga menjelaskan jika perbelanjaan RM16.5 bilion yang dilaporkan untuk rangkaian 5G dibelanjakan dengan betul, seperti yang dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim semasa peringkat jawatankuasa perbahasan belanjawan?

“Sekiranya terdapat ketidakwajaran dalam perbelanjaan ini oleh DNB, adakah tindakan diambil?”

Pada 3 Dis 2022, Fahmi dilantik sebagai menteri komunikasi dan digital apabila DNB dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke kementeriannya.

Rombakan Jemaah Menteri Disember lalu menyaksikan kementerian itu berpecah, dengan Fahmi ditugaskan semula ke Kementerian Komunikasi dan Gobind Singh Deo mengambil alih Kementerian Digital.

DNB secara rasmi berada di bawah Kementerian Digital pada 10 Jan tahun ini.

Semalam, Fahmi berkata tiada siapa yang tahu apa yang berlaku dengan DNB apabila kerajaan perpaduan mula-mula mengambil alih, ini termasuk juga MCMC tidak mengetahui operasi DNB pada masa itu.

“Ia sangat mengerikan dan membimbangkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2025 untuk Kementerian Perhubungan di peringkat jawatankuasa pada Rabu.

“Malah timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan ketika itu, yang kini menjadi ketua setiausaha, tidak dapat melihat apa yang berlaku dalam DNB.

“Ini walaupun DNB adalah sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya.

Fahmi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), yang bertanya mengenai dakwaan bahawa gabungan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, yang diketuai oleh Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperuntukkan RM16.5 bilion wang pembayar cukai untuk pelancaran rangkaian 5G pertama melalui DNB.

Fahmi berkata beliau tidak dapat menjelaskan DNB dengan lebih lanjut kerana ia kini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Digital.

“Saya tidak boleh melangkaui fungsi menteri saya. Tetapi apabila ia berada di bawah saya, itulah yang berlaku,” katanya sambil berkata bahawa Hassan harus menjawab soalannya kepada Menteri Digital.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat