14,253 permohonan Peranti Siswa untuk pelajar IPT di Kelantan diluluskan – KPT

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA, 28 Oktober- Seramai 14,253 permohonan kemudahan peranti di bawah Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan telah diluluskan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata jumlah itu mewakili 71 peratus daripada 20,080 permohonan pelajar dari Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Kelantan yang diterima sehingga Rabu lalu.

“Pengagihan peranti siswa di IPT telah mencapai 32 peratus daripada jumlah yang sudah diluluskan. Saya telah minta supaya proses kelulusan dan pengagihan itu dibuat dalam kadar segera.

Saya tak mahu pelajar-pelajar menunggu lama untuk mendapatkan peranti siswa ini. Oleh itu, kepada para pelajar, apabila dapat peranti tersebut, manfaatkan penggunaan peranti tersebut,” kata Dr. Noraini kepada pemberita RTM ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia kepada 40 pelajar yang mewakili pelajar-pelajar dari Universiti Awam dan IPTS di Kelantan bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, di sini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa.

Pada majlis ini, Datuk Seri Dr Noraini turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Kelantan Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime.

Program bertujuan membantu pelajar asnaf daripada aspek pendidikan serta galakan awal memulakan tabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak dan membentuk kesedaran penabungan sebagai jaminan masa depan.

Ia melibatkan sumbangan zakat PTPTN kepada 17,800 pelajar asnaf melibatkan 178 kawasan terpilih di 12 buah negeri.

Sumbangan diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta.-RTM

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat