50,000 Peniaga Kecil Harap Ada Berita Gembira Dalam Bajet 2022 – Persatuan Penjaja

- Advertisement -

ALOR SETAR – Kira-kira 50,000 peniaga dan penjaja kecil di negeri ini berharap ada berita gembira buat mereka dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan, esok.

Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali berkata, manfaat serta bantuan perlu diutamakan kepada peniaga serta penjaja yang hampir kebanyakannya terjejas sejak penularan Covid-19.

“Saya yang mewakili semua peniaga dan penjaja di sini meminta agar kerajaan menyediakan peruntukan atau faedah khas kepada golongan ini.

“Faedah tersebut seperti tambahan pinjaman atau skim bantuan iaitu Geran Khas Prihatin dan lain-lain yang pastinya meringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu melanjutkan moratorium kepada golongan peniaga yang masih terkesan dengan Covid-19 untuk meneruskan perniagaan mereka.

Menurutnya, pihaknya juga berharap agar agensi-agensi pinjaman seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan mana-mana bank tidak menetapkan syarat yang rumit.

“Peniaga yang ingin meminjam tidak perlu melalui prosedur yang menyukarkan mereka, mungkin hanya perlu dapatkan sokongan persatuan atau apa-apa syarat yang memudahkan,” ujarnya.

Tambahnya, sebarang faedah dan manfaat yang mendatangkan kelebihan buat golongan itu nanti pastinya akan ‘merawat’ kesusahan yang telah mereka hadapi sebelum ini. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat