LESTARI 2030 pacu agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia

KUALA LUMPUR — LESTARI : Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) diperkenalkan bagi menetapkan hala tuju kelestarian sektor telekomunikasi, penyiaran serta perkhidmatan pos dan kurier sehingga 2030.

Inisiatif itu menghimpunkan kerajaan, pengawal selia dan pemain industri bagi memperkukuh penggunaan tenaga secara cekap, mengurangkan kesan operasi terhadap alam sekitar serta menggalakkan amalan perniagaan yang lebih mampan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sektor komunikasi merupakan antara pemacu pembangunan negara dan ekonomi rakyat, namun kemajuan tersebut perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara alam sekitar.

“Yang penting dalam sektor-sektor bawah jagaan Kementerian Komunikasi, sama ada penyiaran, sektor kurier dan pos, sektor telekomunikasi. Kita sedar sektor-sektor ini adalah pemacu pembangunan negara dan ekonomi rakyat,” katanya pada majlis pelancaran LESTARI di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan dan kemajuan tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut ekonomi, sebaliknya kesan aktiviti serta cara sesebuah industri beroperasi terhadap alam sekitar juga perlu diberi perhatian.

“Masa yang sama, tidak berguna kalau kita bercakap tentang pembangunan, kemajuan, jika tidak ada aspek kelestarian dan memikirkan tentang bumi kita,” katanya.

Antara perkara yang diberi perhatian menerusi agenda itu ialah penggunaan tenaga dalam sektor telekomunikasi, khususnya bagi memastikan infrastruktur komunikasi terus beroperasi di seluruh negara.

Fahmi berkata, terdapat kira-kira 60,000 menara telekomunikasi di seluruh negara, termasuk di kawasan pedalaman yang sebahagiannya tidak mempunyai akses kepada grid elektrik dan masih bergantung kepada janakuasa diesel.

“Kalau kita tengok dalam negara kita, untuk pastikan capaian internet dapat meliputi seluruh negara, setiap menara yang didirikan perlu tenaga dan ada dalam kalangan menara-menara ini, terutama di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses kepada rangkaian grid, the electricity grid,” katanya.

Menurutnya, penggunaan diesel bagi mengekalkan operasi menara terbabit bukan dalam jumlah yang kecil, sekali gus menunjukkan keperluan mencari kaedah penggunaan tenaga yang lebih mampan.

“Tapi dilengkapkan dengan diesel genset. Barulah saya tahu sewaktu saya menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Komunikasi, jumlah diesel yang diperlukan oleh satu-satu menara dalam satu-satu bulan bukan jumlah yang kecil,” katanya .

Dalam sektor pos dan kurier pula, Pos Malaysia antara syarikat yang telah memulakan peralihan kenderaan penghantaran daripada enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan elektrik.

Fahmi berkata, langkah itu menunjukkan usaha peralihan kepada teknologi lebih bersih boleh dilaksanakan secara berperingkat dalam operasi industri.

“Saya kena iktiraf, Pos Malaysia antara syarikat pos dan kurier yang pertama, sekurang-kurangnya dua tahun yang lalu, yang mulakan dengan satu hala tuju yang telah mereka lancarkan dan buktikan melalui peralihan kenderaan-kenderaan penghantaran pos daripada internal combustion engine, ICE, kepada kenderaan elektrik,” katanya.

Sementara itu, sektor penyiaran turut berdepan cabaran penggunaan tenaga yang tinggi, terutama bagi operasi studio dan produksi yang memerlukan sistem penyejukan bagi mengawal haba daripada peralatan.

“Kita tahu tempat-tempat di mana peralatan untuk membuat rakaman di studio, biasanya dalam bilik-bilik yang saya anggap bilik-bilik beku. These are ice boxes sebab peralatannya menjana haba yang banyak dan perlu diurus dengan keadaan cuaca yang lebih terkawal,” katanya .

Fahmi berkata, kesan penggunaan tenaga yang tinggi terhadap pelepasan karbon juga perlu diberi perhatian oleh industri penyiaran dan produksi.

“Tapi jarang kita fikirkan apakah dari segi carbon emission, apa yang dihasilkan daripada penggunaan tenaga yang besar dan tinggi oleh bidang perfileman dan produksi,” katanya.

Menerusi LESTARI, usaha turut memberi tumpuan kepada pengurusan peranti secara lebih bertanggungjawab, termasuk penggunaan semula, baik pulih, naik taraf dan kitar semula bagi mengurangkan sisa elektronik.

Menjelang 2030, inisiatif itu menyasarkan sehingga 15 juta peranti diurus secara lestari, manakala kira-kira lima juta rakyat dijangka menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif di bawah rangka kerja berkenaan.

Fahmi berkata, kerjasama antara kerajaan, pengawal selia dan pemain industri perlu diperkukuh bagi membolehkan lebih banyak sektor beralih kepada pendekatan yang lebih lestari.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat