Oleh Zihan Zari
SIK – Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sebagai sebuah jabatan yang diamanahkan untuk mengurus dan memelihara khazanah hutan negara, mahu membawa mesej kelestarian lebih dekat kepada masyarakat khususnya generasi muda, kata Ketua Pengarahnya, Dato’ Mohd. Radhi Chu Abdullah.
“Kita mahu mereka memahami bahawa hutan bukan sekadar himpunan pokok dan bukan semata- mata sumber untuk dimanfaatkan.
“Hutan merupakan khazanah negara yang menyokong sumber air, memelihara biodiversiti, membantu menstabilkan iklim dan menjadi benteng semula jadi yang penting kepada kesejahteraan manusia.
“Kita tidak mahu JPSM hanya dikenali melalui hutan yang kita uruskan, tetapi juga melalui masyarakat yang kita dekati dan generasi yang kita didik untuk mencintai alam sekitar, ”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) JPSM di Masjid Al-Wustha, Kg Belantek, dekat sini pada Ahad.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sik, Faisal Rizal Mohammad; Timbalan Pengarah Fizikal Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Khairul Anwar Ramli; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JPSM, Dato’ Hj. Roslan Rani; Pengarah Perhutanan Kedah, Hj. Othman Deris; Pengarah TVETMara Seberang Perai Utara, Ir. Ts. Rahim Selamat; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pendidikan Kedah, Rosmira Saad; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Belantik, Mohd Bukhori Mohd Zakaria.
Terdahulu, Mohd. Radhi Chu berkata, program KAM untuk warga Kampung Belantek dan SAM untuk keluarga besar SK Seri Ampang Muda bukan sekadar menandakan selesainya projek-projek fizikal dan penyerahan bantuan, ianya menjadi simbol perpaduan antara kerajaan, masyarakat dan institusi pendidikan dalam membina masa depan yang lebih sejahtera.
Beliau berkata KAM dan SAM mencerminkan tekad Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan dapat dirasai secara lebih adil, inklusif dan menyeluruh.
Pendekatan ini menggabungkan kekuatan kementerian, jabatan, agensi, institusi pendidikan dan komuniti bagi menangani keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
Menurut beliau setiap projek perlu membawa nilai tambah, mengukuhkan kesejahteraan dan membuka ruang kepada masyarakat untuk turut memiliki serta memelihara kemajuan yang dicapai.
Inilah semangat yang ingin kita terjemahkan melalui KAM dan SAM – kerajaan hadir bukan hanya untuk melaksanakan projek, tetapi untuk bersama-sama rakyat membina kehidupan yang lebih baik.
Menurutnya lagi, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi pelaksanaan KAM JPSM di Kampung Belantek dan dilaksanakan melalui dua teras utama, iaitu RM260,000 atau 52 peratus (%) bagi pembangunan infrastruktur serta RM40,000 atau 48 % bagi sosial dan kesejahteraan.
“Di bawah Teras Infrastruktur, antara kemudahan yang dilaksanakan ialah, menaik taraf tapak penyembelihan bagi kegunaan korban dan sembelihan komuniti di Masjid Al-Wustha; membaik pulih masjid, termasuk pemasangan pintu gelongsor, penebat bumbung, siling PVC dan sistem kamera litar tertutup; dan membina telaga tiub bagi menyokong keperluan bekalan air masjid.
“Selain itu, membina dua mercu tanda di laluan utama masuk dan keluar kampung; memasang sistem solar berkapasiti 16 kilowatt puncak di bumbung Masjid Al-Wustha; dan memperkasa kemudahan pendigitalan bagi kegunaan masjid dan sekolah.
“Kemudahan ini memberi manfaat langsung kepada kepada hampir 4,250 komuniti seperti tapak penyembelihan yang lebih teratur, kemudahan air dan keselamatan yang dipertingkatkan, hinggalah kepada penggunaan tenaga solar, serta setiap projek dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.
“Kita mahu setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat, ”katanya.
Katanya lagi, bagi Teras Sosial dan Kesejahteraan, pendekatan yang dilaksanakan adalah berteraskan nilai ihsan, keprihatinan dan keterangkuman dengan memberi perhatian khusus kepada kebajikan serta keperluan golongan yang memerlukan.
“Sebanyak lima unit katil hospital dan lima unit kerusi roda disediakan bagi membantu penduduk yang uzur dan memerlukan sokongan penjagaan serta bantuan bakul makanan kepada 200 penerima dalam kalangan asnaf dan ibu tunggal turut disalurkan, di samping kelengkapan persekolahan kepada 320 orang anak penduduk yang memerlukan.
“Peralatan elektronik dan perkakasan turut disediakan untuk Masjid Al-Wustha bagi memperkukuh peranannya bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai wadah penyampaian maklumat, pengimarahan dan aktiviti kemasyarakatan.
“Inilah manifestasi pendekatan MADANI yang kita hasratkan. Angka-angka ini bukan sekadar statistik. Disebalik setiap katil, kerusi roda, bakul makanan dan bantuan persekolahan, ada insan dan keluarga yang memerlukan perhatian serta sokongan kita bagi memastikan tiada sesiapa yang terpinggir daripada arus kesejahteraan,”ujarnya.
Ujarnya lagi, sebanyak RM90,000 turut diperuntukkan di bawah komponen TVET On-Job Training, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM40,000 dimanfaatkan bagi kerja-kerja pendawaian semula dan pemasangan elektrik di Dewan Kampung Bukit Berangan serta sembilan buah rumah penduduk di Kampung Belantek. Bakinya sebanyak RM50,000 telah diperuntukkan bagi pemasangan 17 unit lampu solar lengkap dengan tiang dan tapak di sepanjang laluan masuk utama kampung.
Tambahnya, pelaksanaan menerusi pendekatan TVET ini memberikan nilai tambah yang berganda. Di satu pihak, komuniti menikmati kemudahan yang lebih selamat, berkualiti dan kondusif. Di pihak yang lain, para peserta TVET berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran mereka secara langsung dalam persekitaran kerja sebenar.
“Pendekatan ini membuktikan bahawa pembangunan prasarana bukan sekadar menghasilkan kemudahan fizikal, malah boleh menjadi wahana pembangunan bakat, peningkatan kemahiran dan pemerkasaan modal insan.
“Bagi JPSM, penerapan elemen kelestarian dalam projek ini turut membawa makna yang amat signifikan. Penggunaan tenaga solar juga membawa mesej yang penting kepada kita semua bahawa kelestarian alam sekitar boleh dimulakan daripada komuniti,”tambahnya.
Tambahnya lagi, usaha ini mungkin bermula pada skala kecil, namun impak nya membawa mesej yang lebih besar dalam usaha menangani perubahan iklim serta pemeliharaan alam sekitar.
Mohd. Radhi Chu berkata program SAM JPSM di SK Seri Ampang Muda yang menerima peruntukan sebanyak RM100,000 dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah dengan matlamat untuk mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Beliau berkata, persekitaran pembelajaran yang lebih baik, menyediakan ruang kepada para guru untuk mendidik dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuk penyelenggaraan sistem loceng sekolah, pemasangan penyaman udara, pembekalan mesin pencetak, penambahbaikan dan keceriaan bilik mesyuarat, penyediaan meja dan kerusi, carta organisasi dan papan kenyataan, peralatan keselamatan, sistem siar raya, mesin laminasi serta perkakasan bagi memperkasa fungsi Pusat Isolasi Sekolah.
Menurutnya lagi, kemudahan ini memberi manfaat secara langsung kepada 318 orang murid dan 27 orang guru. Namun, nilai sebenar pelaburan ini jauh lebih besar kerana pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan.
“Kepada anak-anak sekolah ini, manfaatkanlah kemudahan yang disediakan dengan sebaik-baiknya dan belajarlah bersungguh-sungguh, bina sahsiah yang baik serta kejarlah cita-cita.
“Ingatlah, kejayaan bukan hanya tentang pencapaian akademik, tetapi juga tentang disiplin, integriti, kerjasama dan tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, negara serta alam sekitar.
“Saya berharap daripada sekolah ini akan lahir generasi MADANI yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berjiwa besar iaitu generasi yang bukan sahaja mampu mencipta kejayaan untuk diri sendiri, tetapi bersedia menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara,”katanya.
Katanya lagi, sebanyak RM90,000 telah diperuntukkan merangkumi RM500,000 bagi KAM, RM90,000 bagi komponen TVET On-JobTraining dan RM100,000 bagi SAM. Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus diperkasa melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan berimpak langsung kepada komuniti.
Namun, saya ingin menegaskan bahawa kejayaan program ini tidak berakhir dengan majlis penyerahan pada hari ini, sebaliknya kejayaan sebenar terletak pada sejauh mana setiap kemudahan yang disediakan terus dimanfaatkan.
“ Saya menyeru kepada kepimpinan kampung, pihak pengurusan masjid, pihak sekolah dan seluruh komuniti agar kemudahan yang disediakan dijaga, diselenggara dan dimanfaatkan dengan sebaik- baiknya.
“Marilah kita wujudkan rasa memiliki terhadap kemudahan ini supaya manfaatnya dapat dinikmati untuk jangka panjang,”ujarnya.
Tambahnya, JPSM hubungan yang terjalin dengan Kampung Belantek dan SK Seri Ampang Muda juga tidak seharusnya berakhir setelah projek ini disempurnakan. Insya-Allah, kita berharap jalinan ini dapat terus diperkukuh melalui program kesedaran alam sekitar, aktiviti penghijauan, pendidikan Perhutanan serta pelbagai program kemasyarakatan yang bersesuaian.
“Saya berharap program ini menjadi titik permulaan kepada satu hubungan yang lebih bermakna antara JPSM, sekolah dan komuniti iaitu hubungan yang berteraskan semangat kebersamaan, tanggungjawab dan kecintaan terhadap alam sekitar,”tambahnya lagi. – SUARA.TV



