BeONE Mobile tampil bersama Maxis, perkenal model perniagaan berasaskan komuniti

BeONE Mobile melihat pendekatan berasaskan komuniti sebagai satu daripada cara untuk membina kehadirannya dalam pasaran telekomunikasi Malaysia, dengan memberi tumpuan kepada pengembangan rangkaian ejen tempatan di samping menawarkan peluang pendapatan tambahan kepada masyarakat.

Pengendali rangkaian mudah alih maya (MVNO) tempatan itu dilancarkan secara rasmi hari ini dengan kerjasama Maxis, menerusi penawaran perkhidmatan mudah alih prabayar yang disokong oleh rangkaian Maxis di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang merasmikan pelancaran BeONE Mobile, berkata usaha syarikat itu untuk mendekati komuniti dan membangunkan kumpulan usahawan sebagai ejen merupakan antara perkara yang menarik perhatian beliau.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat membantu BeONE Mobile memperluas perkhidmatannya, malah memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk memperoleh pendapatan tambahan.

“Usaha BeONE Mobile untuk mendekati komuniti, membangunkan kumpulan usahawan untuk menjadi ejen-ejen mereka di samping memberi peluang untuk mereka meningkatkan pendapatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran.

Fahmi berkata, kerjasama BeONE Mobile dengan Maxis turut membolehkan syarikat berkenaan memanfaatkan rangkaian telekomunikasi sedia ada bagi menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Dengan rangkaian yang baik daripada pihak Maxis, saya percaya perkhidmatan telekomunikasi yang akan disediakan oleh pihak BeONE dapat menambah kepada ekosistem telco di negara kita dan memberi lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia membuat pilihan yang bijak berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka,” katanya.

BeONE Mobile pula mengetengahkan konsep ejen yang datang daripada komuniti setempat sebagai sebahagian daripada model operasinya. Ejen berperanan membantu pelanggan dalam urusan pendaftaran, pertukaran rangkaian, penyelesaian masalah serta sokongan selepas jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif BeONE Mobile, Ameen Amaendran, berkata pendekatan itu dibina berdasarkan idea bahawa pelanggan seharusnya mendapat layanan daripada individu yang memahami komuniti mereka, bukan sekadar berurusan dengan saluran jualan.

Menurut beliau, ejen BeONE Mobile tidak memerlukan premis perniagaan atau modal besar untuk memulakan aktiviti berkenaan kerana syarikat menyediakan latihan dan peralatan yang diperlukan.

Pendekatan itu turut membuka ruang kepada individu yang sudah mempunyai pekerjaan untuk mencuba bidang keusahawanan secara sambilan. Antara kumpulan yang diberi perhatian ialah komuniti e-hailing menerusi Program Keusahawanan BeONE untuk Komuniti E-Hailing.

Melalui program tersebut, peserta akan menerima latihan, peralatan digital serta produk dan perkhidmatan BeONE Mobile untuk diperkenalkan kepada rangkaian kenalan masing-masing. Dengan cara itu, mereka boleh menjalankan aktiviti sebagai ejen tanpa perlu meninggalkan pekerjaan sedia ada.

Selain komuniti e-hailing, BeONE Mobile turut menyasarkan kumpulan seperti belia, pekerja gig, peniaga kecil dan isi rumah berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses kepada perkhidmatan telekomunikasi dan kemahiran digital.

Fahmi turut menggalakkan BeONE Mobile memanfaatkan jaringan komuniti serta maklumat yang tersedia melalui kerjasamanya dengan Maxis bagi memperluas usaha mendekati masyarakat.

Beliau berkata, sebagai syarikat baharu dalam industri, BeONE Mobile boleh menggunakan jaringan sedia ada untuk memberikan penerangan kepada komuniti mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.

Dalam masa sama, BeONE Mobile memperkenalkan Inisiatif SIM Komuniti yang bermula di Lembah Pantai. Penduduk setempat boleh mendapatkan SIM Komuniti dengan data tambahan bagi membantu memenuhi keperluan akses digital mereka.

Bagi pasaran telekomunikasi, kemunculan BeONE Mobile menambah satu lagi pilihan kepada pengguna dalam segmen prabayar, manakala penggunaan rangkaian Maxis membolehkan syarikat itu menawarkan perkhidmatan tanpa perlu membina infrastruktur rangkaian sendiri.

BeONE Mobile berkata syarikat akan meneruskan usaha memperluas rangkaian ejennya, selain memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu serta menjalinkan kerjasama dengan komuniti dan rakan strategik.

Dengan menggabungkan perkhidmatan mudah alih, sokongan ejen tempatan dan peluang keusahawanan, BeONE Mobile kini memulakan langkah untuk membina kedudukan dalam pasaran telco Malaysia yang turut dihuni oleh pemain-pemain sedia ada.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat