Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mencatatkan jumlah pendaratan ikan di Malaysia meningkat kepada 1.39 juta tan metrik ™ pada 2024 berbanding 1.27 juta tm pada 2023, menunjukkan perkembangan positif dalam industri perikanan tangkapan marin negara.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain, berkata pencapaian ini
menggambarkan kejayaan strategi pengurusan sumber berasaskan sains serta penglibatan aktif komuniti nelayan.
“Peningkatan pendaratan dan Kadar Sara Diri (SSR) negara adalah bukti bahawa industri perikanan kita semakin pulih.
“Inisiatif seperti program tukun tiruan, kajian stok ikan, serta pengukuhan infrastruktur pendaratan moden telah memberi hasil yang nyata, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, peningkatan ini mencerminkan pemulihan sektor perikanan yang berterusan dan menyumbang kepada kelestarian bekalan makanan laut untuk rakyat Malaysia.
“Antara negeri penyumbang utama ialah Perak yang kekal sebagai negeri tertinggi dengan pendaratan sebanyak 434,349 tm, diikuti Sabah (201,812 tm), Selangor (163,732 tm) dan Pahang (144,651 tm).
“Kejayaan negeri-negeri ini menunjukkan potensi sumber perikanan marin masih
tinggi serta menegaskan bahawa kerjasama di peringkat negeri memainkan peranan penting dalam menyokong pemulihan nasional.
“Bagi negeri Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu merekodkan pendaratan masing-masing 58,115 tm dan 39,657 tm pada 2024.
“Walaupun sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, jumlah ini masih lebih baik jika dibandingkan dengan tahun 2022, membuktikan sektor perikanan di Pantai Timur tetap berdaya tahan walaupun berdepan cabaran pasaran dan faktor cuaca,”ujarnya.
“Selangor dan Pulau Pinang pula mencatatkan peningkatan konsisten dan positif sepanjang tempoh pemulihan, sekali gus menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan hasil pendaratan perikanan negara.
“Kejayaan ini turut didorong oleh pelaksanaan Program Pemuliharaan Sumber di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025) dan sepanjang tempoh ini, sebanyak 1,174 unit tukun tiruan telah berjaya dilabuhkan di seluruh negara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20 juta.
“Projek ini telah memberi kesan positif kepada ekosistem marin, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan dan keseimbangan biodiversiti laut.
“Kesan positif jelas ditunjukkan melalui peningkatan SSR perikanan negara kepada 91.6 peratus (%) pada 2024, manakala SSR bagi 15 spesies utama turut meningkat daripada 91.9% kepada 93.3%.
“Antara spesies yang mencatatkan peningkatan ketara ialah ikan bawal
(66.3% → 78.0%), ikan merah (93.3% → 98.9%), dan ikan kembung yang terus menunjukkan pertumbuhan kukuh.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa pengeluaran domestik bukan
sahaja pulih dari segi jumlah, tetapi turut tertumpu kepada spesies bernilai tinggi dan mendapat permintaan tinggi daripada pengguna.
“DOF akan terus melaksanakan langkah-langkah mampan bagi memastikan bekalan ikan negara sentiasa mencukupi, berkualiti dan berdaya saing,”ujarnya lagi.
Dalam pada itu, DOF bersama Marine Fishery Resources Development and Management Department (MFRDMD) telah melaksanakan kajian pentaksiran sumber perikanan pelagik di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pada 9 hingga 19 September 2025.
Katanya, kajian ini dilaksanakan dengan sokongan dana Japanese Trust Fund melalui Southeast Asia Fisheries Development Centre (SEAFDEC) dan dijangka memberi input saintifik penting terhadap strategi pengurusan stok ikan negara pada masa hadapan.
“Kesimpulannya prestasi tahun 2024 membuktikan sektor perikanan Malaysia berada pada landasan positif dengan pendaratan yang meningkat, SSR yang bertambah baik serta sumbangan
negeri-negeri utama yang terus kukuh.
“DOF komited untuk memastikan
keseimbangan antara keperluan makanan rakyat, kelestarian sumber marin, serta kesejahteraan komuniti nelayan, dengan dasar dan keputusan yang berteraskan sains untuk generasi akan datang, ”tambahnya.-SUARA.TV



