KLUANG – Mandat besar Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah penanda aras bahawa formula dan model kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) semakin diterima oleh rakyat.
Justeru, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kejayaan formula kerjasama ini tidak terhenti di sini.
Kata Bung Moktar, BN Sabah dan PH Sabah perlu memastikan formula dan model kerjasama ini diteruskan di Sabah, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“BN dengan penuh kesyukuran mengumumkan kemenangan besar di PRK DUN Mahkota melalui pertandingan dua penjuru, dengan majoriti melebihi 20,000 undi.
“Kemenangan ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan rakyat terhadap BN, tetapi juga merupakan penanda aras bahawa formula dan model kerjasama antara BN dan PH semakin diterima oleh masyarakat.
“Kejayaan formula kerjasama ini tidak terhenti di sini. BN Sabah dan PH Sabah perlu memastikan formula dan model kerjasama ini diteruskan di Sabah, terutama menjelang PRN Sabah yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut ahli Parlimen Kinabatangan itu, masih banyak yang perlu dicapai di Sabah, terutamanya dalam aspek kemajuan pembangunan dan usaha menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di negeri itu.
“Walau bagaimanapun, kejayaan menarik pelaburan tersebut bergantung kepada kestabilan politik yang dapat kita wujudkan bersama.
“Dengan kemenangan ini, BN dan PH akan terus komited untuk membina masa depan yang lebih baik buat seluruh rakyat Malaysia.
“Kemenangan di DUN Mahkota ini adalah bukti jelas bahawa rakyat semakin memahami keperluan kestabilan politik demi kemakmuran negara, dan kerjasama antara BN dan PH perlu diteruskan bagi membawa perubahan yang positif di Sabah,” katanya.
Tambah Bung Moktar lagi, rakyat semakin sedar bahawa kestabilan politik amat penting untuk memastikan pemulihan ekonomi negara berjalan dengan lebih cepat.
“Peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia adalah bukti bahawa formula kerjasama ini berjaya mewujudkan suasana yang lebih kondusif bagi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.
“Dalam masa terdekat, kita akan menyaksikan nilai mata wang ringgit semakin mengukuh, yang secara langsung akan memberi kesan positif kepada harga barangan yang diharap dapat menurun, membantu meringankan beban rakyat,” katanya.