KLUANG – Pakatan Harapan (PH) Johor lega dapat menunaikan janji kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memenangkan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kemenangan besar BN di Mahkota adalah bukti sokongan yang tidak berbelah bahagi PH kepada semangat Kerajaan Perpaduan.
“Inilah gambaran persefahaman yang telah ditonjolkan oleh rakyat Johor untuk kali kedua. Pada hari ini PH memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam apa yang kami janjikan dalam pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, dan Menteri Besar Johor bahawa PH akan membantu untuk memenangkan calon BN Umno, iaitu Syed Hussien dan ia terbukti pada malam ini.
“Kerjasama yang telah ditunjukkan dalam PRK ini hasil daripada semangat dan kerjasama yang kita buktikan kerana kita sayangkan dan cintakan Malaysia, dan Johor.
“Sebab itu saya dalam ucapan setiap kali dalam pertemuan dengan masyarakat Johor, walaupun kami berbilang bangsa berbilang agama dan juga berlainan pemikiran politik di peringkat awalnya, tetapi apabila kita melihat kepentingan kesatuan untuk masyarakat Malaysia, untuk memastikan ekonomi bukan sahaja untuk distabilkan politik dan ekonomi.
“Tetapi lebih penting daripada itu adalah kemakmuran rakyat mesti dicapai bersama oleh kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,”ketika berucap Bilik Gerakan Utama BN di Taman Sri Kluang pada Sabtu.
Ahli Parlimen Sri Gading itu menegaskan, kerjasama Kerajaan Perpaduan ini wajar dipertahankan.
“Pelbagai kaum dan agama menyaksikan Kerajaan Perpduan perlu dipertahankam dan diteruskan untuk kekalkan kejayaan kerajaan dalam bentuk bukan sahaja ekonomi dan kesejahteraan perkara-perkara lain.
“Buktinya dengan kemenangan (Syed) Hussien,” ujarnya.