KLUANG – Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon menyeru kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dipererat selepas menyaksikan kemenangan hatrik yang dicipta BN itu dalam tiga siri Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu Pelangai, Nenggiri dan Mahkota.
Hang Soon berkata, bertitik tolak daripada kemenangan besar di Mahkota ini justeru Kerajaan Perpaduan wajar memikirkan bagaimana cara untuk memperatkan lagi kerjasama gabungan ini.
“Saya rasa malam ini kita cukup bergembira dengan keputusan majoriti lebih daripada 20,000.
“(Kemenangan) ini sesuatu yang saya rasa mungkin pada awal di luar jangkaan kita, tapi berkat kerjasama daripada semua pihak itulah keputusannya.
“Apa yang penting adalah, dari sini bagaimana kita nak memperatkan lagi kerjasama di antara dan sesama kita (BN-PH) dalam pakatan ini,” katanya ketika berucap Bilik Gerakan Utama BN di Taman Sri Kluang pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau menegaskan kemenangan Syed Hussien Syed Abdullah wajar dirayakan oleh semua jentera (BN-PH).
“Selamat maju jaya untuk kita semua.
“Malam ini, malam kita,” ujar beliau.