Oleh Zihan Zari
BALIK PULAU – Generasi muda adalah aset negara dan pewaris yang akan mempertahankan warisan seni dan budaya yang menjadi khazanah negara serta kekal sebagai jati diri rakyat Malaysia.
Dalam memastikan kelangsungan adat, seni dan budaya, amat penting untuk kita memupuk minat dalam kalangan generasi muda.
Nama-nama besar seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee; Batil Perlis, Pak Romli Awang, dan tokoh bangsawan Kedah, Allahyarham Pak Morat Ibrahim memerlukan pelapis dalam kalangan generasi muda pada hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Kem Generasi Budaya 2024 Zon Utara di Kem White Resort, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Latihan Komuniti Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri (PMO), Mohd Hasri Mohd Hadzir; Pengarah JKKN Pulau Pinang; Eezmadyna Azalin Nordin; Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi, dan Pengarah JKKN Perlis, Norazlin Nordin.
Menurut Rosnan, program ini merupakan kesinambungan Kem Sosio Budaya yang pernah dilaksanakan oleh Bahagian Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 1972 dan terakhir dilaksanakan pada 2015.
Beliau berkata, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC)
melalui JKKN dengan kerjasama AKM dan agensi lain akan memberikan impak yang tinggi kepada perkembangan seni budaya dan warisan melalui penerapan jati diri dalam kalangan peserta.
“Selari dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu membentuk budaya nilai tinggi dan keharmonian dalam masyarakat, semangat perpaduan menjadi elemen penting dalam menjaga kestabilan sesebuah negara,”katanya.
“Dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan rakyat berbudaya, program seperti ini diharap memberi impak positif dalam membentuk perpaduan dan melahirkan masyarakat bertatasusila, serta memiliki tahap keintelektualan yang terpuji.
“Kem ini diharap menjadi platform bagi memberi keyakinan kepada generasi muda untuk menubuhkan persatuan atau syarikat baharu yang berteraskan aktiviti seni dan budaya.
“Secara puratanya, sektor industri kreatif di negara membangun dengan menyumbang enam hingga 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2024.
“Kerajaan memerlukan sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat seni bersama-sama berganding bahu untuk menyemarakkan aktiviti seni dan budaya seterusnya memperkukuhkan ekonomi negara, ”katanya lagi.
Menerusi kenyataan oleh JKKN memaklumkan, seramai 67 orang peserta mengikuti program ini yang dilaksanakan dalam bentuk interaksi, ceramah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) untuk menambah nilai jati diri dan pembentukan keperibadian mulia di samping menonjolkan bakat serta kreativiti dalam bidang seni dan budaya.
Menurutnya, enam lagi siri Kem Generasi Budaya telah diatur mengikut iaitu Zon Sarawak, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Sabah pada September hingga Oktober ini yang memfokuskan kepada penerapan jati diri dan pembentukan keperibadian mulia dalam kalangan belia berumur 18 hingga 30 tahun terdiri daripada pelbagai kaum termasuk etnik Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, program ini akan melatih bagi melahirkan belia sebagai NGO baharu dengan menubuhkan persatuan seni budaya dalam menjana ekonomi melalui persatuan atau syarikat yang ditubuhkan, ”katanya.
“Program ini salah satu inisiatif JKKN dalam memastikan penyemarakkan aktiviti seni budaya dan warisan dapat memperkuatkan jati diri dalam kalangan peserta sejajar dengan enam Nilai Teras Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan ke arah memupuk semangat perpaduan, ”tambahnya.
“Melalui program silang budaya ini, peserta dapat mempelajari ilmu baharu selain memberi impak positif kepada generasi muda dalam melahirkan rasa cinta terhadap seni dan budaya.
“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya, ”tambah kenyataan itu lagi. -SUARA.TV