Malaysia Raih Hampir US$2 Bilion Menerusi Terbitan Sukuk SRI Dari 2015 Hingga 2021 – SC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia meraih hampir US$2 bilion (US$1= RM4.614) menerusi 21 terbitan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dari tempoh 2015 hingga 2021, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusinya Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata sukuk SRI pertama diterbitkan pada 2015, yang membiayai pembangunan sekolah amanah di Malaysia, diikuti terbitan sukuk hijau pertama dunia pada 2017 untuk membiayai pembinaan jana kuasa solar berskala besar.

“Dalam hal Malaysia, dengan adanya struktur pengawalseliaan khusus, terutamanya bagi SRI Islam, telah membolehkan instrumen dan pelaburan Islam berkembang maju,” katanya pada Forum Kewangan dan Pelaburan Mampan Islam Asia Keempat di sini, hari ini.

Awang Adek berkata pengalaman selama berdekad-dekad Malaysia dalam produk dan perkhidmatan Syariah adalah hasil daripada tiga prasyarat kritikal bagi evolusi industri dan pasaran yang berterusan, iaitu rangka kerja kawal selia yang memudahkan, ekosistem yang menyokong dan rakan setara.

Di peringkat serantau, katanya, terbitan bon dan sukuk hijau, sosial dan kemampanan berlabel ASEAN berjumlah US$27.2 bilion setakat 19 Ogos, 2022 dengan Malaysia menyumbang 20 peratus daripada jumlah itu.

“Ini termasuk sukuk kemampanan berdaulat Malaysia yang diselaraskan kepada standard bon kemampanan ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Awang Adek berkata Malaysia ketika ini sedang membangunkan taksonomi SRI bagi pasaran modal Malaysia yang sejajar dengan cadangan pelan hala tuju SRI negara.

“Dengan mengelaskan apa aktiviti ekonomi yang dianggap sebagai mampan, taksonomi SRI akan menggalakkan peruntukan modal kepada inisiatif mampan.

“Ia juga akan membentuk ketelusan bagi pengurusan risiko iklim dan pembiayaan peralihan serta meningkatkan pembabitan pemegang kepentingan,” katanya.

Beliau berkata bersama-sama dengan program pembinaan kapasiti teknikal, taksonomi SRI akan menggalakkan pelaksanaan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang berterusan dan matlamat kemampanan lain. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat